Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR – Terdapat tiga cabaran utama yang dihadapi oleh industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing durian segar untuk dieksport.

Antara cabaran itu ialah pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan, tempoh kesegaran durian segar yang pendek dan kos logistik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, walaupun terdapat beberapa cabaran terhadap pengeksportan durian segar, pihaknya yakin durian segar dari Malaysia berada dalam segmen premium mampu bersaing dan terus berkembang di pasaran China.

“Berdasarkan tinjauan oleh Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Beijing, durian segar Malaysia telah menerima sambutan yang amat menggalakkan di pasaran China di mana populariti durian Malaysia dianggap sebagai premium.

“Durian dari Malaysia kini boleh didapati di 16 buah wilayah di China, antaranya di Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Tianjin dan Chengdu.

“Pejabat Penasihat Pertanian Beijing juga aktif melaksanakan aktiviti promosi kepada pengguna di China untuk mengenali ciri-ciri dan kelebihan pelbagai varieti durian dari Malaysia,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah keseluruhan eksport dalam tan metrik sejak Ogos 2024 apabila buah durian segar dari Malaysia mendapat kelulusan untuk dieksport ke China.

Beliau mahu mengetahui bagaimana sambutan durian Malaysia di pasaran China dan cabaran utama yang dijangka dihadapi oleh industri durian Malaysia dalam mengekalkan daya saing.

Menghuraikan mengenai perkara itu, Arthur berkata, ketika ini, durian dari Malaysia mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China, Singapura dan Hong Kong.

Katanya, saiz pasaran durian segar di China pada tahun 2023 adalah bernilai RM32 bilion.

Namun, katanya, permintaan durian segar bagi pasaran eksport tidak dapat dipenuhi oleh pengeluaran semasa kerana bekalan buah durian segar hanya terhad kepada musim tuaian yang kebiasaannya dua kali setahun.

Mengulas mengenai tempoh kesegaran durian segar yang pendek, Arthur berkata, durian yang dituai perlu dieksport dengan segera dan dipasarkan dalam tempoh tiga ke empat hari bagi mengekalkan kesegaran dan kualiti.

Ia berbeza dengan durian segar dari Thailand dan Vietnam yang mempunyai tempoh kesegaran yang lebih lama sehingga 25 hari kerana amalan penuaian sebelum tempoh matang.

Manakala berhubung kos logistik, beliau berkata, pengeksportan durian segar ke China dalam tempoh segera memerlukan pengangkutan udara pada suhu yang rendah menyebabkan kos penghantaran lebih tinggi berbanding durian segar dari Thailand dan Vietnam yang dihantar melalui jalan darat .

Dalam perkembangan sama, Arthur berkata, laluan pasaran durian segar dari Malaysia ke China telah diperolehi pada 19 Jun 2024 apabila Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China ditandatangan oleh kedua-dua negara.

Dengan kelulusan 95 ladang dan 48 fasiliti pembungkusan oleh Pentadbiran Am Kastam China (GACC), Malaysia telah memulakan pengeksportan sulung durian segar ke China pada 24 Ogos 2024 dengan kuantiti sebanyak empat puluh (40) tan metrik menerusi penghantaran udara.

Katanya, bagi tempoh 24 Ogos 2024 sehingga 31 Disember 2024, data Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan sebanyak 413.61 tan metrik durian segar dari Malaysia bernilai RM24.84 juta telah dieksport ke China. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here