TANGKAK – Dua pekerja tempatan maut manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah mesin meletup di sebuah kilang pemprosesan getah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 2 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika dua pekerja sedang melakukan kerja penyelenggaraan ke atas lima mesin yang sedang beroperasi.
“Salah satu daripada mesin itu tiba-tiba meletup, menyebabkan sembilan pekerja mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Roslan, mangsa pertama seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an dikejarkan ke Hospital Tangkak dan disahkan meninggal dunia.
Mangsa kedua, katanya, merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar sebelum disahkan meninggal dunia.
Beliau memberitahu, tujuh lagi mangsa masih menerima rawatan di Zon Merah, HPSF.
“Daripada jumlah mangsa, enam mangsa merupakan lelaki warga tempatan, manakala selebihnya terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh, seorang warga Nepal dan seorang warga Myanmar,” ujarnya.
Roslan berkata, proses bedah siasat dijalankan pagi ini dan siasatan diteruskan mengikut kes laporan mati mengejut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.- MalaysiaGazette