KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diharap tidak melibatkan bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.
Ia kerana Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi masih hairan ada beberapa kes yang melibatkan SPRM ketika Latheefa memegang jawatan Pesuruhjaya SPRM.
“Mujur Latheefa tidak lama jadi bos SPRM. Cuma sembilan bulan. Semoga apa yang PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebut iaitu “pendakwaan tergesa gesa, dendam dan racun” tidak melibatkannya.
“Tetapi kita musykil kenapa dia gugur kes Mas Ermieyati (Samsudin) kerana terima dana 1MDB tetapi Shahril Samad terus didakwa. Kenapa perbualan Najib-Rosmah diviralkan sebelum jadi bahan bukti di mahkamah.
“Apa motif dia? Kalau setakat Rosmah mahu menasihati Najib, itu hak dia. Sama juga Muhyiddin batal hasrat berundur kerana patuh nasihat isteri dia,” soal Puad.
Beliau mengulas cabaran Latheefa kepada Anwar untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun, Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu berkata, Latheefa tidak perlu mencampuri urusan Perdana Menteri.
“Kesian tengok Latheefa Koya. Hilang jawatan SPRM dan jawatan parti. Dia hilang senioriti dan relevansi dalam politik kepartian. Wujud trust deficit kepadanya untuk komen isu rasuah dan keadilan
“Tidak perlulah menyebok dan cabar PMX bebaskan Najib. Najib menuntut perbicaraan adil. Dia sedia didakwa. Dia tidak lari. Dia turut membantah pendakwaan terpilih. Maka Latheefa perlu mengukur baju di badan sendiri. Apakah dia terpalit?” soalnya.
Dalam temuramah dengan sebuat portal, Latheefa menyoal Anwar yang menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada 2018 dilakukan secara ‘tergesa-gesa’ dan dicemari oleh ‘racun dan permusuhan’.
Beliau mahu tahu individu dan kumpulan yang dimaksudkan Anwar yang bertanggungjawab menjalankan dendam sebegitu.
“Jika anda mengatakan ini adalah pendakwaan yang berniat jahat maka anda telah merendahkan keputusan mahkamah tertinggi. Adakah dia mempersoalkan integriti mahkamah? Berapa banyak hakim yang telah mendapati Najib bersalah dan menghukumnya?
“Jika itu kesnya, mengapa memberikan diskaun (mengurangkan hukuman)? Mengapa tidak bebaskan dia sahaja? Jika anda rasa ini salah sepenuhnya, berniat jahat dan penuh racun, maka anda patut bebaskan dia, dia adalah mangsa,” kata Latheefa.
Pada Disember tahun lalu, Anwar berkata, terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas PRU-14 kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.
Perdana Menteri berkata, ia adalah kerana tindakan itu didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa.- MalaysiaGazette