Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin

KUALA LUMPUR – Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz diingatkan tidak lupa kepada asas perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO kerana perjalanan politiknya juga bermula daripada asas yang sama.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, Nazri sepatutnya lebih memahami kerana sayap parti itu mengangkat agenda anak muda dan mempertahankan kepentingan orang Melayu serta negara.

“Pemuda UMNO bukan sekadar sebuah sayap, tetapi medan lahirnya pemimpin yang terus berjuang demi parti dan rakyat. Hakikatnya, ramai pemimpin besar hari ini, termasuk Perdana Menteri sendiri, lahir daripada Pemuda UMNO.

“Sayap ini telah melahirkan pemimpin yang berjiwa perjuangan, mendukung prinsip parti dan membawa suara rakyat ke peringkat tertinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan Nazri menyifatkan Pergerakan Pemuda UMNO hari ini hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu, justeru boleh diabaikan sahaja.

Nazri berkata demikian mengulas tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang sering mengambil pendirian lebih keras berbanding Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zulfadli, sekiranya wujud kelemahan, ia menjadi tanggungjawab kepimpinan dan akar umbi untuk memperbaiki serta mengukuhkan parti dan bukannya meremehkan usaha mereka yang masih setia berkhidmat untuk parti.

“UMNO adalah parti yang mendukung demokrasi dan setiap pandangan dihormati.

“Namun, sebagai ahli parti, adalah lebih baik kita memberi sumbangan membina daripada sekadar melontarkan kritikan yang boleh melemahkan semangat perjuangan.

“Pemuda UMNO akan terus bekerja, turun ke akar umbi, dan memastikan perjuangan parti ini terus relevan.

“Kami tidak akan berhenti hanya kerana pandangan sinis, kerana sejarah membuktikan bahawa Pemuda UMNO sentiasa menjadi pencetus perubahan dalam parti dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here