KUALA LUMPUR – Sebarang perkara yang diputuskan kerajaan dalam pengurusan sesebuah universiti mestilah dibuat berdasarkan undang-undang tanpa penganiayaan kepada mana-mana pihak.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ia termasuklah kes melibatkan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman yang membuat keputusan sendiri mengumumkan peletakan jawatannya baru-baru ini.
“Apa pun proses yang dibuat oleh NC UKM itu adalah tindakan beliau tanpa ada tuduhan secara rasmi dikenakan kepada dia.
“Bukan oleh kerana siasatan dibuat dan telah muktamad..tidak. Tetapi dalam masa yang sama, saya nak sebutkan…kita nak jadikan universiti itu tempat akademik terunggul, tempat kita mendapat ilmu dan menyampaikan ilmu, amat malang kalau melihat universiti itu tempat kilang pengeluaran fitnah surat layang dan sebagainya.
“Jadi, sebagai kerajaan, kita perlu bertanggungjawab bahawa pengurusan universiti itu dijalankan dengan baiknya tanpa melakukan aniaya kepada mana-mana pihak dan ia mesti berlandaskan kepada undang-undang.
“Sebarang tindakan dibuat oleh menteri atau sesiapa sahaja sama ada menteri atau lebih tinggi dari menteri dalam konteks universiti itu mesti berlandaskan peraturan dan saya tidak boleh bertindak sesuatu yang di luar ruang lingkup undang-undang,” katanya pada sesi penggulungan Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Canselor UKM.
Dalam satu mesej yang dihantar kepada pihak pengurusan, beliau mengucapkan penghargaan kepada Zambry atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui UKM bersama barisan pengurusan utama.
Beliau turut memohon kemaafan kepada warga universiti atas sebarang kekhilafan yang berlaku sepanjang tempoh kepimpinannya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh Mohd Ekhwan itu dan memberitahu pelantikan baharu akan melalui proses biasa serta akan diumumkan kemudian. – MalaysiaGazette