ALOR GAJAH – Padah terjun meninggakan lori sehingga merempuh sebuah rumah ketika melarikan diri daripada dikejar pihak berkuasa minggu lalu, seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini.
Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zulhairul Idham Zulkamal, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah sukarela menghalang penjawat awam seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menjalankan fungsi jawatannya.
Kesalahan itu dilakukan di susur keluar Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) menghala ke Lebuh Ayer Keroh kira-kira jam 4.30 petang 19 Februari lalu.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding sama, Zulhairul turut mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan diri sendiri dadah jenis methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Alor Gajah kira-kira pukul 10.15 malam hari sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili diwakili peguam merayu dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan baru mula bekerja sebagai sebagai pemandu lori selain menanggung seorang anak yang masih kecil berusia dua bulan.
Tertuduh juga mengaku bertindak lari daripada penguat kuasa JPJ kerana tiada lLesen CDL (Lesen Memandu Kompeten) dan GDL (Lesen Memandu Barangan).
Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dan menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi kesalahan dadah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal bayar bagi kesalahan menghalang tugas penjawat awam.
Bagi kesalahan dadah, mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes serta serahan laporan patologi.
Pada 19 Februari lalu, MalaysiaGazette melaporkan penguat kuasa JPJ mengambil masa hampir satu jam mengejar suspek sejauh 25 kilometer ketika cuba menahan lori lima tan muatan bahan binaan itu.
Sepanjang aksi mengejar yang tular di media sosial, suspek memandu secara berbahaya termasuk melawan arus, melanggar lampu isyarat sehingga insiden itu tular di media sosial menerusi beberapa klip video yang dirakam orang ramai.
JPJ kemudian mengeluarkan lima notis saman terhadap pemandu atas kesalahan seperti tiada Lesen CDL dan GDL, tidak mematuhi lampu isyarat merah serta memandu secara cuai. – MalaysiaGazette