SEGAMAT– Seorang pemuda maut selepas terlibat dalam kemalangan empat kenderaan berhampiran lampu isyarat Kampung Kubu Dedap, Jalan Jementah-Segamat, di sini, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 1.19 petang.
“Sejurus itu Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membabitkan seramai lapan orang anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Jentera bomba tiba di lokasi pukul 1.36 petang, kira-kira 18 kilometer dari balai bomba.
“Sebaik tiba di lokasi, PKO mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Isuzu 10 tan dan tiga kereta jenis Honda City, Perodua Bezza dan Proton Wira.
“Seorang lelaki didapati tersepit di tempat duduk pemandu Proton Wira dan pasukan kami menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Selain itu kata beliau, seorang wanita yang memandu Perodua Bezza mengalami kecederaan.
“Sementara dua lagi mangsa iaitu seorang wanita warga emas berusia 62 tahun yang menaiki Honda City serta pemandu lori, lelaki berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya .
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 3.01 petang, tambahnya. – MalaysiaGazette