Penolong jurutera universiti salah guna kuasa direman tujuh hari selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membenarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap seorang penolong jurutera sebuah universiti awam di negeri ini  bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa dalam projek menaik taraf infrastruktur di institusi berkenaan.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membenarkan permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama seminggu bermula hari ini sehingga 3 Mac ini.

Permohonan reman itu susulan Ops Steel yang dilaksanakan SPRM bagi menyiasat suspek mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sumber SPRM Johor dilaporkan berkata, suspek lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 petang semalam di Pejabat SPRM Johor di sini.

Menurut sumber berkenaan, lelaki itu ditahan atas kesalahan salah guna kuasa menyebabkan universiti berkenaan menanggung kerugian.

“Suspek telah menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai wakil universiti bagi sebuah projek menaik taraf infrastruktur dan sistem mekanikal, elektrikal serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bernilai lebih RM13 juta.

“Suspek dipercayai melupuskan sisa binaan projek berkenaan sehingga menyebabkan pihak universiti mengalami kerugian dianggarkan sehingga RM500,000,” kata sumber berkenaan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi dilaporkan mengesahkan penahanan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here