Hamzah Ibrahim

KUALA LUMPUR – Seorang peguam, M Ravi telah menghantar petisyen pengampunan kepada Presiden Singapura bagi menyelamatkan seorang rakyat Malaysia yang dijadual menjalani hukuman gantung berkaitan kes dadah esok.

Ravi mengemukakan petisyen itu semalam iaitu satu tindakan akhir bagi menyelamatkan Hamzah Ibrahim daripada menjalani hukuman mati di Singapura.

“Hamzah yang merupakan bekas pelanggan saya telah dijadualkan dihukum gantung pada hari Rabu, 26 Februari.

“Hamzah telah memperoleh Sijil Bantuan Substantial ( CSA) daripada pihak berkuasa yang akan membantu dalam menangani sindiket dadah terbabit. Hamzah patut diberi ganjaran pengampunan atas pertolongannya.

“Saya dengan penuh hormat menggesa Kabinet Singapura untuk mempertimbangkan bantuan besar beliau dan memberikan pengampunan kepadanya dengan menasihati Presiden sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Peguam itu sebelum ini menyeru masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk campur tangan untuk menyelamatkan Hamzah daripada hukuman bunuh.

Pannir Selvam Pranthaman

Sebelum ini, seorang rakyat Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura atas kes penyeludupan dadah dengan dijadualkan menjalani hukuman pada 20 Februari lalu.

Kes tersebut mendapat liputan luas termasuk gesaan wakil rakyat kerajaan Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), Wong Chen (Subang), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), P Prabakaran (Batu) serta bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthurri Patto supaya Perdana Menteri campur tangan.

“Kami dengan penuh hormat berpendapat Pannir hanyalah ‘keldai’ (pembawa) dadah dan tidak sepatutnya dihukum gantung sedangkan anggota sindiket dadah masih bebas dan berkemungkinan sedang menyusun strategi baru untuk memperdaya rakyat Malaysia yang tidak menyedari kandungan bungkusan yang mereka bawa,” kata Ramkarpal dalam sidang media.

Mahkamah Rayuan Singapura pada 20 Februari lalu kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman pada saat akhir kerana terdapat cabaran undang-undang terhadap Seksyen 18(2) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura serta isu berkaitan tindakan bekas peguamnya dalam mengendalikan kes itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here