KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket kegiatan curi elektrik di premis di Taman Sejati, Kampung Wakaf Baru, di Jalan Gong Badak dekat Kuala Nerus malam tadi.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisoner Azli Mohd Noor berkata, suspek lelaki berkenaan berusia 53 tahun ditahan ketika polis melakukan pemantauan dan risikan dalam serbuan Op Letrik.
”Lelaki berkenaan mengaku sebagai pemilik premis ketika serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Terengganu dan dibantu oleh polis bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
”Hasil pemeriksaan bersama anggota dengan bantuan juruteknik TNB telah mengesahkan wujud kecurian arus elektrik disyaki menjalankan aktiviti pemasangan mesin bitcoin dengan mencuri arus elektrik secara haram.
”Manakala hasil soal siasat suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Azli berkata, polis telah merampas 12 unit mesin bertulis avalonminer, 12 unit alat penyejuk mesin bitcoin dan dan buah telefon bimbit jenis IQOO ketika serbuan dijalankan.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Selain itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette