KUALA LUMPUR – Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam membenarkan Perintah Bertangguh terhadap seorang rakyat Malaysia Hamzah Ibrahim yang bakal dihukum gantung berkaitan kes dadah.
Peguam, M. Ravi berkata, Presiden Singapura telah mengeluarkan Perintah Bertangguh dengan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati untuk Hamzah yang dijadualkan untuk dilaksanakan esok.
“Saya sangat lega apabila mengetahui bahawa Presiden Singapura telah mengeluarkan Perintah Bertangguh, dengan itu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati untuk Hamzah, yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada hari Rabu,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial hari ini.
Katanya, rentetan penangguhan hukuman terhadap Hamzah dan seorang lagi rakyat Malaysia Pannir Selvam Pranthaman, beliau memohon agar kerajaan Singapura membuat semakan segera terhadap semua hukuman mati di negara itu.
“Sehubungan itu, saya dengan rendah hati menggesa agar kerajaan mengarahkan semakan sedemikian oleh kerajaan baharu berikutan pilihan raya umum yang akan datang.
“Saya berbesar hati untuk membantu sekiranya Jawatankuasa Parlimen dibentuk untuk menangani perkara ini,” katanya.
Ravi semalam dilaporkan telah menghantar petisyen pengampunan kepada Presiden Singapura bagi menyelamatkan seorang rakyat Malaysia yang dijadual menjalani hukuman gantung berkaitan kes dadah esok.
Ravi mengemukakan petisyen itu semalam iaitu satu tindakan akhir bagi menyelamatkan Hamzah daripada menjalani hukuman mati di Singapura.
Hamzah yang merupakan bekas pelanggannya telah dijadualkan dihukum gantung pada 26 Februari berikutan kes dadah.
Katanya, lelaki itu telah memperoleh Sijil Bantuan Substantial (CSA) daripada pihak berkuasa yang akan membantu dalam menangani sindiket dadah terbabit. Hamzah patut diberi ganjaran pengampunan atas pertolongannya.
Sebelum ini, seorang rakyat Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura atas kes penyeludupan dadah dengan dijadualkan menjalani hukuman pada 20 Februari lalu.
Mahkamah Rayuan Singapura pada 20 Februari lalu kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman pada saat akhir kerana terdapat cabaran undang-undang terhadap Seksyen 18(2) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura serta isu berkaitan tindakan bekas peguamnya dalam mengendalikan kes itu.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Petisyen pengampunan warga Malaysia dihantar kepada Presiden Singapura