KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang dijangka diadakan hujung tahun ini bakal menjadi titik penting kepada kebangkitan UMNO di negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, PRN-17 merupakan masa untuk parti tersebut mengorak langkah dengan lebih kukuh, memperkasa akar umbi dan meyakinkan rakyat yang mana Barisan Nasional (BN) dan UMNO masih merupakan wadah terbaik untuk membela kepentingan mereka.
Menurut beliau, jentera parti BN dan UMNO di seluruh Sabah ketika ini sedang giat digerakkan dan dengan kesatuan serta semangat yang tinggi, parti itu akan kembali sebagai kuasa utama politik di Sabah.
“Kita tidak akan berundur, kita tidak akan goyah kerana perjuangan ini adalah demi rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai.
“Kepada semua ahli dan penyokong UMNO-BN, ini adalah masa untuk kita bangkit bersama.
“Dengan kekuatan akar umbi, pengalaman kepimpinan, dan hala tuju yang jelas, kita akan kembali sebagai parti dominan di Sabah. UMNO-BN Sabah tidak akan pernah mengalah!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO sedia untuk kembali menjadi parti dominan pada PRN-17 Sabah pada tahun ini.
Berucap pada sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di Tawau, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menambah, keyakinan itu berdasarkan semangat baharu luar biasa yang ditunjukkan barisan kepimpinan negeri dan ahli semua peringkat.
Sementara itu, Suhaimi menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu bukan sekadar aspirasi sebaliknya satu seruan perjuangan yang mesti disahut semua ahli BN dan UMNO Sabah dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.
“UMNO-BN Sabah pernah menjadi tunjang politik di negeri ini, membawa kestabilan dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat.
“Kita yakin bahawa dengan kebangkitan semula semangat perjuangan, kekuatan jentera parti, serta sokongan rakyat, kita mampu mengembalikan kegemilangan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette