KUANTAN – Orang ramai dijemput menghadiri Program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri, di sini, pada jam 7 petang pada Khamis ini.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, program tersebut dianjurkan sebagai manifestasi kepada penyatuan rakyat yang bernaung di bawah Sultan Pahang tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan fahaman politik.
“Program akan dimulai dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan yasin, doa selamat dan solat Isyak.
“Seterusnya, program akan diteruskan di padang MBK1 dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Zulkifli, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah turut berkenan berangkat bercemar duli menghadiri program di Masjid Negeri.
Tambahnya, orang ramai digalakkan memakai pakaian kebangsaan dan sebarang pakaian yang berlambangkan atau mewakili mana-mana parti politik tidak dibenarkan.
Orang ramai juga diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.
“Kerajaan Negeri berharap agar pelaksanaan program ini akan mencapai objektif penyatuan rakyat dalam memartabatkan institusi Raja Berdaulat di Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya. – MalaysiaGazette