JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri meluluskan RM2 juta membaik pulih Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor (RPKK) untuk memastikan kapasitinya dapat diguna secara maksimum.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerja-kerja baik pulih akan bermula segera dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2026.
“Ini adalah langkah penting dalam memastikan RPKK benar-benar berfungsi sebagai pusat perlindungan untuk kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan, pengabaian dan pelbagai bentuk kecemasan sosial.
“Ini juga bagi memastikan kanak-kanak yang tinggal di rumah perlindungan tersebut dengan selamat dan selesa,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu beliau bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail turun padang meninjau keadaan RPKK di Jalan Mariam di sini semalam.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, langkah tersebut menunjukkan kerajaan negeri komited untuk memastikan RPKK dapat berfungsi sepenuhnya.
“Saya dimaklumkan bahawa buat masa ini, RPKK tidak mampu menampung kapasiti maximum disebabkan masalah fasiliti.
“Antara isu utama yang dikenal pasti adalah sistem kumbahan, bumbung, pintu, dapur serta sistem perpaipan yang perlu dinaik taraf,” ujarnya.
Pihaknya, kata Menteri Besar, sudah mengarahkan pihak berkaitan untuk mempercepatkan proses baik pulih agar RPKK dapat berfungsi bagi mencapai kapasiti penuh.
“Kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pemasangan pagar keselamatan serta menaik taraf dewan juga akan dilaksanakan demi menjamin kesejahteraan penghuni di situ,” katanya.
RPKK, ujarnya, adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan kanak-kanak yang memerlukan sentiasa terbela.
“Semoga RPKK menjadi tempat yang benar-benar selamat dan kondusif, memberi mereka peluang untuk membesar dalam persekitaran yang positif penuh harapan dan masa depan yang cerah.
“Setiap kanak-kanak berhak untuk mendapat perlindungan, tempat tinggal yang selesa dan penjagaan yang penuh kasih sayang,” katanya.- MalaysiaGazette