Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA – Seorang saksi tidak mengetahui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho berperanan mendapatkan khidmat Goldman Sachs sebagai perunding kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Lembaga Pengarah 1MDB tidak terlibat dalam pemilihan syarikat kewangan itu sebagai perunding kewangan 1MDB.

Menurut saksi pembelaan ke-12 (DW12), Datuk Seri Najib Razak juga tidak pernah mengarahkan lembaga pengarah meluluskan resolusi untuk menggunakan khidmat bank pelaburan multinasional Amerika Syarikat (AS) itu secara eksklusif.

“Saya tidak tahu siapa yang membawa masuk Goldman Sachs sebagai perunding kewangan 1MDB,” ujar saksi berkenaan.

Jho Low
Low Taek Jho

Che Lodin menyatakan demikian pada perbicaraan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri.

Beliau menyatakan demikian ketika membaca pernyataan saksi pada prosiding pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mewakili Najib.

Saksi berkenaan menjelaskan, hubungan 1MDB dan Goldman Sachs serta kaitannya dengan Jho Low.

Dalam keterangannya, Che Lodin berkata, lembaga pengarah pernah menyuarakan kebimbangan mengenai yuran Goldman Sachs yang dikenakan secara berlebih-lebihan.

Namun saksi berkata, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi membenarkan bayaran dengan mendakwa Goldman Sachs telah memperoleh syarat pembiayaan yang menguntungkan untuk 1MDB.

Ujar saksi, namun demikian lembaga pengarah tidak dimaklumkan sepenuhnya mengenai skala keuntungan Goldman Sachs yang diperoleh daripada terbitan bon 1MDB.

Dalam keterangannya, Che Lodin berkata, Najib pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Goldman Sachs (Global), Llyod Craig Blankfein di New York Amerika Syarikat (AS) pada 22 November 2009.

Ujar beliau, pertemuan itu bukan sesuatu yang luar biasa atau berlandaskan niat jahat sebaliknya pertemuan dengan pelabur asing.

Soalan: Adakah anda sedar bahawa Datuk Seri Najib bertemu CEO Goldman Sachs, Lloyd Blankfein pada November 2009 di New York?
Jawapan: Ya. Saya sedar bahawa semasa lawatan rasminya ke New York pada akhir 2009, Datuk Seri bertemu beliau bersama beberapa eksekutif daripada Goldman Sachs termasuk Tim Leissner. Saya juga hadir ketika itu.

Soalan: Dimana Blankfein dan eksekutif Goldman Sachs bertemu Datuk Seri Najib?
Jawapan: Pertemuan itu berlangsung di suite Datuk Seri Najib di Four Seasons Hotel, New York semasa lawatan rasmi beliau pada November 2009.

Soalan: Adakah Jho Low berada dalam suite itu?
Jawapan: Ya, Jho Low berada di suite tetapi dia tidak mengambil bahagian dalam perbincangan itu sebaliknya berada di bilik lain semasa perbincangan antara Datuk Seri Najib dan Blankfein.

Soalan: Berikutan pertemuan antara Datuk Seri Najib dan Blankfein adakah anda mengambil sebarang arahan daripada beliau (Najib)?
Jawapan: Tidak, tiada arahan diberikan kepada Lembaga pengarah atau pengurusan selepas mesyuarat santai itu.

Mengikut pertuduhan, Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here