DULU kita mendengar ada teknologi berkaitan hidrogen yang boleh menggantikan petrol atau diesel di dalam kenderaan.
Bagaimanapun ia sekadar untuk kenderaan prototaip – tiada usaha mengkomersialkannya seterusnya menjadikannya selamat digunakan – kerana hidrogen satu bahan yang mudah meletup.
Namun kita tidak dapat lari daripada kebergantungan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti hidrogen pada masa depan.
RE dilihat antara sumber alternatif penukaran bahan api berasaskan fosil yang terhad dan lebih lestari kepada alam sekitar.
RE merujuk kepada sebarang bentuk tenaga primer yang berasal daripada sumber tidak habis seperti tenaga solar, angin, hidro, biojisim serta geoterma.
Penggunaan RE semakin meningkat di seluruh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali.
Pada tahun lalu, jaminan bekalan gas dalam konteks peralihan tenaga dan keterjaminan bekalan elektrik di Semenanjung adalah antara perkara dibincang pada Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan memberi fokus kepada agenda peralihan tenaga yang telah direncana melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Justeru kerajaan menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035.
Komitmen itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ia bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil sekali gus mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus pada 2030.
Malaysia tidak mahu terus menjadi penyumbang kepada peningkatan suhu akibat pembakaran sumber tenaga lama seperti arang batu, minyak dan gas.
Lagi pun, suhu bumi diramal meningkat kepada 2.7 darjah selsius menjelang akhir abad ini.
Usaha itu seiring pemeteraian Perjanjian Paris 2016 di mana sebanyak 169 negara dunia termasuk Malaysia sepakat untuk memastikan had pemanasan global di bawah 2, sebolehnya pada 1.5 darjah selsius berbanding paras zaman praperindustrian.
Dalam pada itu, Fadillah dipetik berkata, pelaksanaan Akses Pihak Ketiga sebenarnya digariskan oleh NETR untuk dilaksanakan.
“Bagaimanapun, menerusi perancangan dalaman Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kita mahu awalkan pelaksanaan inisiatif itu.
“Ia berikutan minat tinggi ditunjukkan pelbagai pihak susulan pelabur luar yang banyak membina pusat data di negara ini dan ia memerlukan sumber tenaga yang tinggi,” katanya.
Malah Fadillah baru-baru ini juga menggesa pengeluar peralatan asal (OEM) budayakan amalan hijau, teknologi dan tenaga boleh baharu (RE) selaras dengan komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050.
Selain itu, biodiesel adalah bahan api alternatif yang boleh digunakan sebagai pengganti diesel petroleum dan bahan api tersebut merujuk kepada ester metil lemak yang dihasilkan daripada minyak sayuran dan lemak haiwan melalui proses kimia.
Antara minyak biodiesel yang sedang dihasilkan adalah daripada minyak sawit yang dikenali sebagai minyak diesel kelapa sawit.
Justeru pelaksanaan Program Pencampuran Biodiesel Nasional oleh kerajaan pada bakal menjanjikan impak positif yang substantif kepada persekitaran negara
Fadillah pernah menyatakan program itu mampu membantu merealisasikan ikrar Malaysia pada Persidangan Iklim 2015 (COP 21) untuk menepati hasrat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
Fadillah berkata, kajian saintifik membuktikan penggunaan biodiesel berasaskan sawit mampu mengurangkan gas rumah hijau, dan meningkatkan kualiti udara dengan cara mengurangkan polisiklik aromatic hidrokarbon (PAH) yang sering dikaitkan dengan pembakaran bahan api fosil.
Tambahan pula, ia mengurangkan kebergantungan kita terhadap tenaga fosil dengan menyediakan bahan alternatif yang mampan dan akhirnya dapat diterjemahkan kepada simpanan pertukaran asing yang mencukupi melalui penambahan penggantian diesel dengan biodiesel tempatan.
“Kerajaan menganggap industri biodiesel sawit sebahagian komponen yang penting dalam industri minyak kelapa sawit. Pertumbuhannya dapat merangsang permintaan tempatan untuk minyak sawit mentah (CPO) dan membolehkannya menentukan harga sendiri berbanding mengikut trend pasaran,” katanya lagi.
Namun, ada pandangan bahan api fosil masih jadi sumber utama dan tidak mampu lagi diubah dan tidak boleh digantikan dengan sumber tenaga baharu sepenuhnya.
Pembantu Khas dan Ketua Polisi Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Pentadbiran Presiden Republik Azerbaijan, Hikmat Hajiyev berkata, jika mahu melihat perubahan tenaga bertukar, langkah peralihan tenaga dan agenda hijau perlu terus dilakukan tanpa henti.
“Hampir semua negara di dunia menggunakan produk berasaskan bahan api fosil. Kita juga perlu mengakui bahawa ketika ini tidak ada alternatif sempurna kepada bahan api fosil.
“Bahan bakar ini akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Agenda dan transformasi hijau adalah penting, tetapi ia tidak akan mampu mengubah sepenuhnya infrastruktur dan komposisi keselamatan tenaga sesebuah negara,” katanya seperti laporan Awani.
Bagaimanapun demi kelestarian alam sekitar dan sumber yang terhad bahan fosil, dunia tidak boleh lagi menganggap sumber RE hanya kajian makmal dan untuk kenderaan prototaip sahaja.
Gabungan kepakaran, idea saintis dan fokus serta pelaburan dari kerajaan perlu menjadikannya realiti.
Jika bukan sekarang, bila lagi? – MalaysiaGazette