Timbalan Menteri Agama, Senator Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang imbuhan mahupun bayaran insentif diberi kepada penggali-penggali kubur di negara ini, sebagaimana diterima oleh para imam dan bilal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

“Merujuk kepada amalan pemberian insentif ini, hampir kesemua masjid dan kebanyakan surau menubuhkan biro khairat kematian dan kebajikan.

“Penggali kubur dan tukang mandi jenazah ini akan dibayar imbuhan sagu hati daripada peruntukan biro tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat bertanyakan sejauh manakah kerajaan dapat mengadakan elaun kepada penggali kubur.

Mohd Hasnizan mencadangkan agar kerajaan turut memberikan elaun khas kepada golongan penggali kubur sebagai menghargai jasa mereka.

Katanya, kebajikan golongan tersebut yang bekerja di belakang tabir perlu diberi perhatian memandangkan mereka terlibat dengan kerja yang berat tanpa mengira waktu.

“Dalam Belanjawan 2025 kerajaan setuju beri sumbangan khas kepada imam dan bilal, terima kasih atas keprihatinan kerajaan namun saya mohon kerajaan melihat juga kebajikan penggali kubur.

“Mereka perlu diberi elaun khas setimpal dengan kerja mereka,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan logo halal atau sijil halal produk yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar dan pembekal, Zulkifli berkata, hanya lima peratus sahaja pemegang Sijil Pengurusan Halal Malaysia (SPHM) tidak mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

Beliau menjelaskan, sepanjang Januari sehingga Disemebr tahun lepas, sebanyak 4,129 buah syarikat atau premis pemegang SPHM telah dipantau di seluruh negara.

“Hasil daripada pemantauan itu, didapati sebanyak 95 peratus syarikat mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia,” katanya.

Zulkifli berkata, tindakan penguatkuasaan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 akan diambil terhadap mana-mana syarikat ataupun premis yang menggunakan logo atau sijil halal palsu selain, daripada logo halal Malaysia dan logo badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, sepanjang 2024 Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri telah menguruskan sebanyak 337 aduan awam berkaitan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 termasuk berkaitan penyalahgunaan logo halal dan telahpun diambil tindakan.

“Sebanyak 433 kali pemeriksaan dan operasi dirancang dan dilaksanakan bagi menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat yang menyalahi perundangan sedia ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here