KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menafikan dakwaan pemilik asal hartanah tanpa mengira kaum akan diusir secara paksa di bawah cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah tahu hak masing-masing termasuk perlindungan diberikan kepada mereka dalam isu pemilikan tanah.
“Status tanah yang asal juga tidak akan berubah sama ada rizab Melayu atau status kekal. Mana-mana negara pesat membangun, akan adanya bandar-bandar berkembang, ketika itu tentu ada bangunan tidak selamat selain projek terbengkalai yang akan dibangunkan.
“Kerana itu juga sejak 2012, garis panduan dikemukakan, usul pada 2013 dan kemudian proses penggubalan dimulakan pada 2015,” katanya ketika soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.
Beliau berkata demikian soalan asal Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai komitmen kerajaan atas cadangan RUU PSB yang akan memastikan tiada pemilik tanpa mengira kaum diusir daripada pemilikan tanah mereka.
Dalam pada itu, Anwar juga menempelak segelintir yang mendakwa kerajaan ‘gopoh’ dalam membuat cadangan RUU PSB.
Kata beliau, RUU itu belum dibentang namun tegasnya apa yang berlaku sekalipun, semuanya mesti selaras dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini cara kita hendak bantu saya tidak sanggup melihat kawasan-kawasan yang daif, tidak timbul rizab Melayu atau tidak,” tegasnya. – MalaysiaGazette