Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga bekas pegawai kanan yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditahan reman sejak Jumaat lepas, kerana disyaki terlibat rasuah, dibebaskan hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa mereka dibebaskan selepas memberi keterangan dan pada masa yang sama, tempoh reman mereka juga berakhir hari ini.

“SPRM akan mengumumkan penemuan kes ini nanti, namun buat masa ini, siasatan masih diteruskan,” kata sumber tersebut ketika dihubungi hari ini.

Pada Ahad, media melaporkan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan Ismail ditahan reman sejak Jumaat lepas, kerana disyaki terlibat rasuah, dengan seorang daripada mereka telah dibebaskan pada 23 Feb.

SPRM bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang penemuan termasuk nilai wang atau aset yang dijumpai, selain tidak menolak kemungkinan beberapa saksi lain akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here