KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan warga asing menyebarkan agama bukan Islam kepada penganut Islam.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan terbabit mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai komuniti di negara ini.
Kedua-dua mereka membantah tindakan yang dilakukan oleh warga asing terbabit yang didakwa pergi dari rumah ke rumah di sebuah PPR Wanga Maju menyebarkan agama bukan Islam kepada penganut Islam.
Tegas mereka, tindakan warga asing itu melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan Fasal (4) iaitu orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan dan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.
“Malaysia, yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan agama, amat menekankan pentingnya sikap saling menghormati dan hidup bersama dalam suasana aman damai.
“Oleh itu, sebarang aktiviti yang menjejaskan ketenteraman awam serta kesejahteraan bersama harus dihentikan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan meningkatkan aktiviti pemantauan oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara terutamanya di kawasan Lembah Klang.
Ini adalah bagi memperkukuh keselamatan dan keharmonian komuniti di seluruh negara.
Usaha itu juga selari dengan tujuan utama penubuhan Skim Rondaan Sukarela iaitu untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga akan sentiasa memainkan peranan dalam memberi nasihat dan bimbingan kepada umat Islam mengenai kepentingan menjaga akidah, selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai hormat, ihsan dan kesejahteraan bersama.
Sebagai negara yang menjunjung prinsip perpaduan mereka menyeru agar semua pihak menjaga keharmonian dan menghormati nilai-nilai budaya serta agama yang telah lama menjadi asas kehidupan bersama rakyat Malaysia.
Mereka juga berharap agar peristiwa sebegini tidak akan berulang dan tindakan tegas akan diambil untuk memastikan kelangsungan perpaduan nasional.- MalaysiaGazette