Tangkap layar menunjukkan seorang wanita yang juga pembonceng motosikal tercampak setinggi lapan meter selepas motosikal dinaikinya terlibat kemalangan akibat menunggang secara melawan arus di Jambatan Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Padah menunggang motosikal secara lawan arus, seorang lelaki dan wanita parah akibat melanggar sebuah kereta di susur masuk Jambatan Pulau Pinang dari arah Batu Uban menghala ke Perai, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, kejadian jam 2 pagi itu mengakibatkan penunggang motosikal terjatuh ke jalan raya manakala pemboncengnya tercampak ke bawah jambatan dengan ketinggian lapan meter.

“Kita menerima laporan berhubung kejadian ini jam 12.25 tengah hari tadi dan hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai motosikal terbabit ditunggang secara melawan arus dan melanggar hadapan, kanan serta belakang sebuah kereta.

“Semasa kejadian, motosikal yang ditunggang lelaki berusia 23 tahun itu datang dari arah Georgetown menghala ke Queensbay bagi menghantar pembonceng berumur 25 tahun pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, mereka dikatakan tersilap jalan dengan memasuki laluan ke Jambatan Pulau Pinang sebelum lelaki itu membuat pusing-U di atas jambatan dan menunggang secara melawan arus ke arah Batu Uban,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Swee Sake berkata, kedua-dua mangsa yang parah itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan dua mangsa termasuk seorang daripadanya tercampak ke bawah jambatan selepas terlibat kemalangan di susur masuk Jambatan Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here