MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus proaktif memperluaskan jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa bersama universiti dan agensi di negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Antara dapatan kerjasama strategik tersebut dizahirkan menerusi pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU), MoU pertama antara UTeM dan UAE Academy manakala MoU kedua pula antara UTeM dan Innovation Floor Ardhiyat Al Ibdaa Information Solutions.
Agenda itu merupakan antara pengisian lawatan kerja rasmi Tuan Yang Terutama Yang di- Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam bersama UTeM ke UAE, baru-baru ini.
Lawatan kerja rasmi telah dimulakan dengan pertemuan dengan Menteri Toleransi dan Hidup Bersama UAE, Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan yang mana pertemuan ini adalah pembuka tirai perbincangan dan pengukuhan kerjasama antara UTeM serta agensi-agensi berkaitan di UAE.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, inisiatif pengantarabangsaan ini adalah selari dengan Fokus 4 Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi.
“Justeru, UTeM sentiasa komited dan terus berinisiatif tinggi menjayakan segenap agenda berimpak tinggi serta pengukuhan hubungan strategik secara berterusan di pentas antarabangsa,” ujarnya dalam kenyataan.
Menyentuh tentang MoU di UAE, beliau menyatakan MoU antara UTeM dan UAE Academy adalah tertumpu kepada pengukuhan kerjasama strategik dalam bidang akademik serta program mobiliti pertukaran pelajar dan kakitangan antara 2 institusi.
Pada masa yang sama, UTeM turut akan membangunkan Pusat Pembelajaran UTeM di UAE Academy untuk memberikan kemudahan kepada pelajar di sana untuk melaksanakan apa-apa program kerjasama antara UTeM dan UAE Academy.
“Kunjungan ini turut melawat UniStudent Centre UTeM bagi melihat sendiri fasiliti terkini yang telah ditambahbaik bagi meningkatkan kemudahan buat pelajar-pelajar UTeM di negara berkenaan.
“Dalam memastikan perkhidmatan di peringkat antarabangsa yang berkualiti, UTeM sentiasa menambahbaik kemudahan dari semasa ke semasa bagi penggunaan pelajar-pelajar tempatan, mahupun antarabangsa,” ujarnya.
Berkenaan MoU antara UTeM dan Innovation Floor Ardhiyat Al Ibdaa Information Solutions, UAE pula fokus kepada kerjasama strategik dalam bidang memperkasakan bidang penyelidikan dan inovasi selari dengan perkembangan teknologi semasa dunia.
“Antara bidang tumpuan penyelidikan adalah tertumpu kepada bidang-bidang utama yang melibatkan Kecerdasan Buatan (AI), Kejuruteraan Robotik dan juga teknologi pembangunan dan pembuatan bateri,” katanya.
Delegasi juga berpeluang ke Rubu Qarn Robotic yang dilengkapi dengan kemudahan fasiliti berteknologi tinggi bagi tujuan penyampaian perkhidmatan latihan yang efektif kepada pelajar-pelajar segenap peringkat umur di sana.
Antara pengisian lain, pihak UTeM turut menjayakan sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi Ajman University yang mana UTeM telah mensasarkan lebih dari 7 geran dari universiti tersebut dan sebagai makluman umum seorang dari staf UTeM juga akan memulakan Skim Pengantarabangsaaan Teknikal UTeM di universiti tersebut. – MalaysiaGazette