KUANTAN – Pengorbanan dan pengalaman golongan alumni belia terus dihargai oleh pimpinan generasi baharu.
Lebih membanggakan apabila Alumni Belia 4B Pahang telah mengangkat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Tokoh Alumni Belia 4B Pahang pada acara di sini malam tadi.
Wan Rosdy berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghargaan kepadanya bersama golongan belia yang membangunkan golongan belia muda sehingga hari ini.
Menurut beliau, alumni bukan sekadar bekas ahli tetapi sebagai aset penting yang boleh membimbing, memberi tunjuk ajar dan mencipta peluang kepada golongan muda yang sedang mencari arah dalam kehidupan mereka.

”Tak sangka rasa macam tak layak tapi bila alumni belia bagi terima. Saya ingin ucapkan terima kasih dan sangat hargainya.
”Kita nak pastikan kalau boleh yang belia baru ini bawa macam kita, ada semangat juang tinggi, patuhi masa, kerjasama, ikhlas, jujur, ada nilai kempimpinan dan kalau boleh lebih baik dari kami.
”Yang penting tidak kurang daripada apa kami lakukan, lebih tidak mengapa,” katanya ketika ditemui media sejurus Majlis Makan Malam Pertubuhan Bekas Ahli 4B Negeri Pahang (Alumni) di sini semalam.
Pada majlis itu, Wan Rosdy turut merasmikan buku Coretan buat Tokoh Alumni 4B Negeri Pahang mengandungi profil 18 tokoh alumni belia di negeri ini.
Terdahulu semasa berucap, Wan Rosdy berkata, cabaran politik masa kini bukan sahaja melibatkan kepintaran dalam berstrategi tetapi juga keupayaan untuk memahami kehendak rakyat serta menerajui perubahan dengan penuh tanggungjawab.
“Sebagai bekas ahli 4B, mereka yang telah diasah dengan nilai kepimpinan sejak awal untuk berkhidmat kepada masyarakat, memahami keperluan rakyat di akar umbi serta menjadi pemimpin yang sentiasa mendahulukan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi.

”Saya percaya ramai dalam kalangan Alumni 4B telah berjaya dalam pelbagai bidang, sama ada dalam bidang perniagaan, perkhidmatan awam, politik atau sebagai pemimpin masyarakat
”Justeru, marilah kita bersama-sama membantu anak-anak muda hari ini untuk mengikut jejak langkah kita, malah menjadi lebih hebat lagi daripada kita,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan pertubuhan seperti 4B dalam membentuk generasi pemimpin masa depan. – MalaysiaGazette