Perak FC tewas 0-2 kepada JDT dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.- Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

ISKANDAR PUTERI – Kualiti pemain termasuk pengumpulan kad kuning antara punca Perak FC tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrsahim di sini malam tadi.

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah berkata, faktor tersebut menyukarkan usaha skuad The Bos Gaurus itu untuk menyaingi pasukan lawan secara lebih agresif.

Menurut Yusri, pada perlawanan tersebut skuad kendaliannya itu beraksi dengan strategi bertahan bagi mengawal asakan juara bertahan Liga Super itu.

“Kami tahu JDT adalah pasukan yang sangat kuat dan dengan skuad yang kami ada, pendekatan bertahan adalah pilihan terbaik.

“Pemain telah berusaha sebaik mungkin, tetapi terdapat kekangan dari segi kecergasan dan disiplin permainan.

“Lagi pun, kita tak boleh kehilangan pemain bagi mengharungi baki perlawanan selepas ini kerana sasaran kita adalah untuk menyamakan saingan di kelompok pertengahan Liga,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan itu.

Pada perlawanan tersebut, skuad Kejor Yob Kejor itu tewas 0-2, hasil jaringan penyerang import Jese Rodriguez pada masa kecederaan babak pertama selain jaringan Jorge Obregon yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan skuad Seladang kini berada pada kedudukan ke enam Liga Super dengan 23 mata hasil enam kemenangan, lima seri dan tewas sembilan kali setelah mengharungi 20 perlawanan.

Sementara itu, Yusri turut memuji aksi cemerlang penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli yang beberapa kali menyelamatkan gawang daripada dibolosi jentera serangan skuad Harimau Selatan.

“Saya lega kerana hanya tewas 0-2. Haziq menunjukkan prestasi luar biasa, dan tanpa dia, mungkin kami dibolosi lebih banyak,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here