KUALA LUMPUR – Seramai 60 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan telah diselamatkan oleh pihak berkuasa Kemboja di Poipet, berhampiran sempadan Kemboja-Thailand, 22 Februari lalu.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke pusat tahanan imigresen di Siem Reap untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat ini, 25 orang telah selamat pulang ke Malaysia manakala 11 lagi dijadualkan tiba hari ini.
“Baki 24 individu lain akan dihantar pulang secara berperingkat dalam masa terdekat,” katanya.
Lawatan konsular okeh Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh mengesahkan bahawa semua individu berada dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, KLN turut menjelaskan bahawa kumpulan ini adalah kumpulan berasingan daripada 15 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar dan dihantar pulang dari Thailand, kelmarin.
“Kami merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kemboja atas kerjasama mereka dalam menyelamatkan rakyat Malaysia serta memudah cara proses penghantaran pulang.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia terus komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani pemerdagangan manusia, khususnya yang melibatkan penyalahgunaan teknologi oleh sindiket jenayah,” tambahnya.
Kerjasama bersama negara-negara ASEAN serta rakan antarabangsa lain akan terus dijalinkan bagi meningkatkan kapasiti teknikal, berkongsi pengalaman, dan menggalakkan pertukaran maklumat bagi membanteras jenayah ini secara lebih berkesan.
KLN turut menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara untuk sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan tawaran pekerjaan melalui saluran rasmi bagi mengelakkan diri menjadi mangsa sindiket penipuan.
Manakala mereka yang menghadapi kesulitan di luar negara digalakkan untuk mendapatkan bantuan daripada Perwakilan Diplomatik Malaysia terdekat. – MalaysiaGazette