Suhaizan Kaiat

JOHOR BAHRU – Cadangan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Mohd Hafiz Sabri mahu mengadakan perhimpunan besar-besaran membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) membuktikan mereka berfikiran sempit dan anti pembangunan.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, silap dan pendirian Pas itu tidak selari dengan keperluan pembangunan bandar yang didiami oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

“Pemuda Pas sepatutnya mencadangkan idea pembangunan bandar untuk keselesaan penduduk bukannya membangkitkan kebencian dengan fakta yang salah dan tersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan menjelaskan, Akta PSBA diwujudkan adalah untuk menaikkan nilai rumah pemilik, mengurangkan kos penyelenggaraan, memberi keselesaan penduduk dengan infrastruktur yang lengkap dan memajukan kawasan yang dibangunkan.

Selama ini, ujarnya, rumah pangsa khususnya di bandar-bandar besar menghadapi masalah bangunan tidak selamat dan penyelenggaraan yang serius seperti masalah kerosakan lif, kerosakan kumbahan najis, kebocoran bumbung, keretakan dinding, kekurangan tempat letak kereta, pertelingkahan dalam badan pengurusan, tunggakan utiliti dan lain- lain.

Beliau yang juga Naib Pengerusi  Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, Akta PSB dapat membantu menyelesaikan masalah itu dan tidak berbangkit isu penjajahan moden seperti di Palestin.

“Pemaju tidak boleh mengusir pemilik sewenang-wenangnya kerana pemilik dilindungi undang-undang. Pemuda Pas sengaja membawa naratif pengusiran seperti di Palestin untuk membangkitkan kebencian rakyat kepada Kerajaan Madani,” katanya.

Akta baharu itu, kata Suhaizan, tidak boleh mengusir penduduk miskin Melayu yang menjadi pemilik perumahan tersebut.

Katanya, tuduhan Pemuda Pas bahawa akta itu menindas golongan minoriti, memaksa mereka keluar pindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan adalah keterlaluan dan tidak berasas.

Ini kerana pemilik adalah berhak terhadap tanah mereka dan pemaju tiada hak untuk mengusir mereka, tegasnya.

“Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak terhadap harta iaitu hak terhadap harta iaitu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

“Kedua, tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

“Adalah tidak logik sama sekali untuk pemaju mengusir pemilik yang sah sesuka hati dan Pemuda Pas sengaja menjaja fakta salah untuk menghasut rakyat menolak akta itu.

“Sebaliknya, fakta yang tidak disebutkan oleh Pemuda Pas adalah melalui akta ini pemilik yang mempunyai hak terhadap rumah yang terlibat bakal menikmati hasil daripada pembangunan semula kawasan perumahan berkenaan.

“Mereka bakal menerima rumah dalam bentuk unit gantian di tapak yang sama secara percuma,” katanya.

Beliau mendakwa, pembaharuan semula bandar bukan satu agenda baharu di bawah Kerajaan Madani tetapi telah pun digerakkan sejak 2020 bawah pemerintahan kerajaan terdahulu semasa Pas berada dalam kerajaan.

“Jika tuduhan-tuduhan di atas adalah benar, mengapa Pemuda Pas tidak mengada himpunan membantah pada tahun 2020?” soalnya.

Pada Selasa lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan, Akta PSB dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Julai ini.

Katanya, ketika ini ia dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan depan.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin yang memberikan maklum balas rancangan tersebut, menyifatkan akta PSB sebagai menindas dan menekan orang Melayu.

Jelas Abdullah, akta itu membuka ruang yang luas kepada pemaju dan kerajaan untuk mengambil alih tanah dan kediaman rakyat kononnya atas nama pembangunan.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan PSB sebagai taktik halus untuk mengusir orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menegaskan  undang-undang sedia ada sudah memadai bagi tujuan pembangunan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari pula berkata, jika dilaksana akan membolehkan kerajaan serta pemaju mengambil tanah dan rumah rakyat walaupun pemilik asal tidak bersetuju sepenuhnya.

“Persetujuan 75 peratus pemilik unit dalam sesebuah bangunan sudah mencukupi untuk membolehkan pengambilan tanah berlaku.

“Apa terjadi kepada 25 peratus yang tidak bersetuju? Dipaksa mengalah. Persoalannya, sejak bila prinsip demokrasi membenarkan suara majoriti menindas hak minoriti?

“Sejak bila kerajaan boleh memaksa pemilik melepaskan rumah mereka tanpa persetujuan mutlak? Oh, tapi jangan risau – semuanya atas nama ‘kemajuan’,” dakwa Ahli Parlimen Pasir Mas itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here