JOHOR BAHRU – Pemuda MCA menyifatkan cadangan menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebagai tidak masuk akal dan mencerminkan pemikiran yang sempit.
Exco Pemuda MCA Johor, Dr Chua Ching Hao berkata, cadangan tersebut tidak mengambil kira fakta dan realiti pendidikan di Malaysia.
Cadangan itu juga katanya, dilihat tidak berasas dan mengabaikan sumbangan institusi itu dalam sistem pendidikan negara.
“SJKC telah melahirkan ramai rakyat Malaysia yang berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk beberapa pemimpin UMNO sendiri.
“Sebagai contoh, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO seperti ADUN Mahkota, Syed Hussein, dan ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor adalah bekas pelajar SJKC.
“Kejayaan mereka membuktikan bahawa pendidikan vernakular tidak menghalang perpaduan atau kejayaan individu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, SJKC bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan akademik negara tetapi juga membantu melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dengan kemahiran pelbagai bahasa.
Daripada mencadangkan sesuatu yang tidak berasaskan fakta katanya, lebih baik memberi fokus memperkukuhkan sistem pendidikan negara secara keseluruhan.
“Keutamaan kita adalah memastikan semua pelajar Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, bukannya menjadikan isu pendidikan sebagai alat politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang mempertikaikan pendidikan vernakular supaya mengkaji fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan cadangan yang boleh mencetuskan ketegangan dan mengelirukan masyarakat.
Semalam, sebuah portal melaporkan Pemuda UMNO melontarkan cadangan kepada pihak-pihak yang membicarakan soal perpaduan negara dengan idea supaya sekolah vernakular dimansuhkan jika sejarah semua kaum diajar bermula di sekolah rendah.
Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata, jika cadangan pembelajaran sejarah semua kaum benar-benar ikhlas bertujuan untuk memupuk perpaduan, maka begitu juga dengan silibus sekolah vernakular perlu ada kesepaduan.- MalaysiaGazette