MERSING – Seorang pelancong warganegara Republic Czech ditahan kerana melakukan khianat menconteng dinding bangunan di bandar ini Ahad lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menerima laporan pukul 1.56 petang Ahad berkaitan beberapa dinding bangunan di bandar Mersing diconteng individu yang tidak dikenali.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, bertindak atas maklumat risikan dan rakaman rakaman litar tertutup (CCTV), pihaknya berjaya mengesan sebelum menahan lelaki asing terbabit yang berusia 32 tahun.
Menurutnya, suspek ditahan anggota baagian siasatan jenayah daerah IPD Mersing pada pukul 3.15 petang hari yang sama.
“Suspek merupakan warganegara Republic Czech datang ke Mersing sebagai pelancong dan tiada masalah mental juga tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iatu kesalahan melakukan khianat,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu katanya, Mahkamah Majistret Kota Tinggi membenarkan suspek ditahan reman selama emat hari bermula 24 hingga esok untuk siasatan lanjut
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah yang berlaku boleh disalurkan menerusi talian 07-7992222, direct line : 07-7991300, hotline: 07-7996224 dan tablet DCC: 07-7993507.
Terdahulu menerusi facebook rasmi Majlis Daerah Mersing, MY Mersing telah memuat naik hantaran gambar kesan contengan di dinding sekitar bandar Mersing.
“Tidak pasti apa niat individu ini membuat contengan di beberapa kawasan di sekitar bandar Mersing, namun tentunya, ia satu merupakan satu kesalahan kerana merosakkan harta benda awam.
“Pihak kami sedang mengesan individu yang terlibat berdasarkan rakaman CCTV yang diberikan.
“Orang ramai diminta untuk bersama-sama memberi maklumat dan membantu kami dalam bersama-sama membanteras aktiviti vandalism yang berlaku di sekitar Mersing,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik.- MalaysiaGazette