Mesin di sebuah kilang pemprosesan getah di Tangkak meletup semalam dan mengakibatkan dua maut, tujuh cedera

TANGKAK- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengeluarkan dua notis larangan berkaitan aktiviti kerja susulan letupan mesin di sebuah kilang memproses getah di daerah ini semalam.

Pengarah JKKP Johor, Jaafa Leman berkata, keseluruhan kawasan lokasi kemalangan turut diarahkan ditutup sehingga siasatan selesai dilakukan.

“Hasil daripada siasatan awal yang dijalankan mendapati sebelum kemalangan berlaku terdapat aktiviti kerja penukaran ’bowl’ pada mesin ’centrifugation’ di kilang tersebut oleh dua pekerja kontraktor yang dilantik oleh pihak kilang.

“Setelah kerja-kerja penukaran ’bowl’ pada mesin ’centrifugation’ selesai dijalankan, pekerja kontraktor tersebut telah memasang semula penutup pada mesin ’centrifugation’ dan pengujian dijalankan ke atas mesin tersebut.

“Bagaimanapun selepas lebih kurang 25 minit pengujian dijalankan, mesin dan ’bowl’ telah pecah menyebabkan pelbagai serpihan ’body part’ pada mesin, ’disc’ dan ,’bowl’ berterbangan ke kawasan sekitar ’centrifugation’ area,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian terbabit telah mengakibatkan kecederaan kepada dua pekerja kontraktor serta tujuh pekerja kilang yang berada di sekitar kawasan kejadian.

Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan namun dua mangsa meninggal dunia selepas itu.

Setakat ini, dua lagi mangsa masih menerima rawatan di hospital manakala selebihnya telah dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, JKKP memaklumkan tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 terhadap majikan yang cuai.

Sehubungan itu, majikan diingatkan supaya lebih cakna terhadap aspek keselamatan dengan menjalankan penaksiran risiko serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here