Suasana semasa Latihan Amal Ex-Rimau Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM bagi persediaan menghadapi Kepengerusian ASEAN ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pusat Konvensyen Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) hari ini melaksanakan latihan kesiapsiagaan menuju persidangan Kepengerusian ASEAN 2025.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Jabatan KDNKA Bukit Aman, Deputi Komisioner M.V Sri Kumar berkata, latihan yang dijalankan hari ini khusus kepada langkah menangani risiko sekiranya berlaku protes semasa persidangan berlangsung.

“Kita nak tunjukkan kesiapsiagaan PDRM, kemahiran-kemahiran ini ada pada PDRM (Polis Diraja Malaysia), cuma kita buat latihan-latihan untuk kesiapsiagaan yang lebih padu.

“Jadi bila kita berdepan dengan apa-apa persidangan, negara kita berada dalam keadaan paling selamat,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dijadikan lokasi latihan di sini hari ini.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan KDNKA DCP M. V. Srikumar Madhavan Nair bercakap pada media berkenaan Latihan Amal Ex-Rimau Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM bagi persediaan menghadapi Kepengerusian ASEAN ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pusat Konvensyen Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 FEBRUARI 2025.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.

Latihan sebentar tadi berlangsung selama lebih kurang tiga jam yang dijalankan mengikut jangkaan masa kejadian sebenar.

Antara senario latihan atau demonstrasi yang dilakukan adalah langkah-langkah meleraikan protes dan risiko sekiranya berlaku kekerasan dalam kalangan peserta termasuklah cara menangani penemuan barang mencurigakan dan membahayakan.

“Demonstrasi (latihan) seterusnya adalah bagaimana tertib (langkah) jika barang mencurigakan dijumpai. Kalau barang itu bahaya sampai keadaan memaksa kita keluarkan orang dari bangunan atau keluarkan VIP (orang kenamaan), bagaimana cara dan langkahnya.

“Kita melatih supaya kita ada kemampuan bukan latih supaya perkara begini jadi, tidak,” katanya.

Menurut Sri Kumar, antara pasukan yang terlibat adalah anggota polis daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi dan jabatan dan unit berkaitan di bawab KDNKA iaitu Pasukan Gerakan Am, Unit Simpanan Persekutuan (FRU),  Unit Pemusnah Bom, 69 Komando, Unit Tindakan Khas (UTK), K9, jururunding PDRM.

Katanya lagi, latihan itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa demi memastikan persidangan Kepengerusian Asean akan berlangsung dengan aman sekaligus menjamin keselamatan negara amnya.

“Latihan akan datang mungkin kita akan cantum (gabung) dengan agensi-agensi di luar PDRM yang terlibat dalam keselamatan dan kelangsungan persidangan (Kepengerusian) Asean,” ujarnya.

Terdahulu beliau berkata seramai 150, anggota polis pelbagai jabatan dan unit terlibat dalam latihan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here