KUALA LUMPUR – Sebanyak 247 lesen pengendali dan permit kenderaan barangan digantung sepanjang tahun lepas atas kegagalan audit pematuhan Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP).
Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah itu meningkat 100 peratus berbanding tahun 2023.
“Sejumlah 247 Lesen Pengendali telah digantung pada tahun 2024 berbanding 101 pada 2023 dan 94 pada tahun 2022 manakala, hanya 8 lesen pengendali digantung antara 2019 dan 2021.
“MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah menggantungkan 23 permit kenderaan pada tahun 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya.
“Tempoh penggantungan boleh sampai 90 hari untuk ketidakpatuhan yang serius,” katanya di Dewan Rakyat sambil memaklumkan sebanyak tujuh lesen pengendali dibatalkan dari tahun 2022 hingga 2024.
Beliau menjawab pertayaan Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang meminta menteri pengangkutan menyatakan tindakan tegas kementerian dalam usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat terutamanya lori memandangkan terdapat 1,457 kes kematian dicatatkan dari tahun 2019-2024.
Menurutnya, antara lesen pengendali yang telah digantung adalah sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih daripada 1,000 kenderaan.
“Ini adalah selari dengan pendirian tegas MOT untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan keselamatan terhadap kenderaan berat termasuk tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan walaupun ke atas syarikat besar apabila berlakunya ketidakpatuhan,” ujarnya.
Siew Fook berkata, mana-mana pemandu dan syarikat pengendali kenderaan pengangkutan juga boleh didakwa di mahkamah dengan hukuman sehingga RM500,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun jika didapati bersalah.
“Kenderaan mereka boleh dilucutkan hak dan memang ada beberapa kes kita bawa ke mahkamah untuk memberikan satu mesej kuat kepada pengendali ini supaya tidak membawa had muatan berlebihan,
“…memang dalam MOT kita sedang melihat dasar sama ada bukan sahaja pemandu dan pemilik syarikat pengangkutan dikenakan tindakan, malah pemilik kargo juga bertangubgjawab perlu menghadapi hukuman sekiranya mereka membenarkan kargo mereka ini dibawa dengan had muatan yanh berlebihan,” katanya.
Tambah beliau, kementeriannya juga sedang melihat sistem “High Speed – Weight in Motion” (HS-WIM) yang bertujuan memantau muatan kenderaan berat secara automatik. – MalaysiaGazette