Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap kepada media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan Bil 1 Tahun 2025 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju dengan cadangan menubuhkan satu jawatankuasa bagi membincangkan kehendak pembangkang untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah untuk meneliti sebarang cadangan daripada pembangkang dan seterusnya menyelesaikan isu tersebut secara konsesus.

Untuk rekod, cadangan untuk mewujudkan jawatankuasa khas itu mula dibangkitkan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas mendakwa tiada ruang perbincangan diberikan kepada pihak pembangkang.

“Kalau ada apa-apa kita kena bincang, kalau ada cadangan bagi kepada saya, kita akan bentuk satu jawatankuasa untuk kita (kerajaan dan pembangkang) duduk bersama berbincang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan Bilangan 1  Tahun 2025, di ibu negara, hari ini.

Fadillah yang juga Ketua  Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengatakan, permohonan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sudah tiada perkembangan terkini.

Tambahnya, pihak kerajaan juga tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelesaikan isu tersebut malah tidak pernah menjemput ahli Parlimen pembangkang ke meja rundingan.

Menjawab kenyataan itu, Fadillah berkata kerajaan tidak mahu mengadakan rundingan tersebut susulan pihak pembangkang bertindak menolak bulat-bulat isi kandungan draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pembangkang yang disediakan sebelum ini.

“Dulu pembangkang juga yang mengatakan mereka tidak mahu berunding, mereka tak setuju apa semua (tentang MoU) jadi sebab itu saya kata tak ada lah perundingan.

“Yang ada dengan Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar)…Memang saya menerima cadangan daripada beliau. Tetapi (Ahli Parlimen) lain tiada.

“Berhubung tuntutan Syed Saddiq, kita masih muktamadkan,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Syed Saddiq mengkritik kerajaan dengan berkata kerajaan perlu berhenti berteka-teki mengenai peruntukan tersebut dan berterus terang mengenai perkara itu kepada umum.

Jelasnya beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Fadillah namun masih belum menunjukkan perkembangan positif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here