KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meneliti semula pendakwaan ke atas penganjur perhimpunan aman Bangkit Sabahan dan Gempur Rasuah.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ia selari dengan jaminan Perdana Menteri meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan siasatan ke atas mahasiswa yang terlibat dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu.
“G57 berpandangan, kes menghina, mengaibkan dan memfitnah Tuan Terutama Negeri Sabah Tun Musa Aman seharusnya diteruskan pendakwaan di mahkamah.
“Mereka yang memfitnah dan mengaibkan Tun Musa termasuk Fahmi Reza semasa Perhimpunan Gempur Rasuah tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap individu yang terbabit dalam perhimpunan tanpa notis kebenaran di hadapan Menara Kinabalu, Likas, Kota Kinabalu pada 31 Disember lalu.
Keputusan itu dibuat selepas penelitian semula dilakukan terhadap kes yang disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Menurut kenyataan AGC semalam, prosiding terhadap individu berkenaan dihentikan selaras dengan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, rekod Tun Muda jelas menunjukkan beliau tidak pernah disabitkan bersalah di mana-mana mahkamah berkaitan kes rasuah di negara ini.
“Justeru menuduh Tun Musa mengamalkan rasuah dan kaki rasuah sedangkan beliau tidak pernah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah adalah jelas satu fitnah jahat untuk mengaibkan Institusi Istana di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette