Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Pelancaran Video Promosi VM2026 di Pavilion Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong Kong Sing berharap video baharu Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang dilancarkan hari ini tidak lagi dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Beliau percaya tidak semua yang boleh menerima akan perkara positif yang ingin disampaikan dalam video tersebut dan berharap video baharu itu boleh memuaskan harti semua pihak.

“Tidak mengapa (orang nak komen), apa pun yang kita buat mesti akan ada orang yang komen. Cuma ambil komen yang positif, jangan semua isu nak dipolitikkan sahaja, kalau semua nak dipolitikkan, yang positif pun akan jadi isu,” katanya selepas merasmikan video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Pavillion hari ini.

Dalam pada itu, King Sing berkata, MOTAC akan mengemaskini video TMM2026 setiap tiga bulan sekali supaya lebih banyak produk boleh diketengahkan.

Langkah tersebut sebagai usaha berterusan untuk memastikan industri pelancongan negara sentiasa berdaya saing.

“Langkah ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong serta memastikan Malaysia terus menjadi destinasi utama pilihan pelancong antarabangsa.

“Saya juga mengalu-alukan kerjasama rakan media serta penggiat industri untuk membantu menyebarluas video promosi ini di platform masing-masing,” katanya dalam ucapan perasmian video berkenaan.

Tayangan video Promosi VM2026 di Pavilion Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 FEBRUARI 2025.

MOTAC hari ini melancarkan video promosi terbaharu Tahun Melawat Malaysia 2026 berdurasi 35 minit sebagai satu langkah strategik memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Jelas King Sing, selain video promosi yang dilancarkan hari ini, terdapat lima lagi video promosi khas telah dihasilkan mengikut lima wilayah utama Malaysia iaitu Wilayah Tengah, Utara, Timur, Selatan Semenanjung Malaysia, serta Borneo (Sabah dan Sarawak).

Setiap video berdurasi kira-kira 10 minit dan memberi fokus kepada tarikan unik di setiap negeri dalam wilayah tersebut.

Sebelum ini, video montaj TMM 2026 berdurasi 41 saat menerima kritikan termasuk pemimpin pembangkang yang menggesa MOTAC menarik balik video berkenaan kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.

Mengakui perkara itu, King Sing berkata, MOTAC telah mengarahkan supaya video promosi yang dalam proses diselesaikan dibuat semula.

Di Dewan Rakyat, King Sing menjelaskan MOTAC membelanjakan sejumlah RM1.9 juta untuk pembikinan lebih 200 video promosi pendek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here