KAJANG – Komitmen Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada kerajaan kekal RM32 bilion untuk tahun ini meskipun syarikat itu mengalami penurunan tahun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah dividen yang diberikan setiap tahun bergantung kepada prestasi kewangan syarikat dan keadaan pasaran minyak global.
“Komitmen dari Petronas masih tahap RM32 bilion.
“Bagaimanapun, jumlah dividen bagi tahun 2025 masih belum diputuskan dan akan bergantung kepada prestasi kewangan Petronas sepanjang tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2024 di Dewan Jubli, Institut Penilaian Negara (INSPEN), di sini, hari ini.
Petronas sebelum ini mengumumkan keuntungan bersih RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Kadar keuntungan itu merosot 32 peratus berbanding keuntungan sebanyak RM80.7 bilion pada tahun sebelumnya sejajar dengan harga minyak yang rendah.
Jumlah pendapatan yang berjaya diperolehi Petronas tahun lalu berjumlah RM320 bilion, susut tujuh peratus daripada tahun sebelumnya.
Tahun lalu, Petronas memberi dividen kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion, pembayaran cukai (termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan) dan duti RM26.8 bilion, pembayaran tunai petroleum RM13.1 bilion dan Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM500 juta.
Dalam pada itu, Amir Hamzah turut mengulas pertumbuhan positif dalam beberapa sektor, terutama sektor pembinaan, yang berkembang sekitar 20 peratus pada suku keempat tahun lalu.
Beliau optimistik bahawa pelaburan yang telah banyak diluluskan pada tahun lalu akan memastikan perkembangan ekonomi negara.
“Kerangka ekonomi di bawah kerangka Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan juga dikatakan telah menunjukkan kesan positif terhadap pertumbuhan negara.
“Dengan unjuran keluran dalam negara kasar (KDNK) berada antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus untuk tahun ini, kerajaan optimistik bahawa pemulihan ekonomi akan berterusan,” tambahnya.