Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kiri) mendengar taklimat berhubung pengoperasian Kompleks Ladang Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) FELCRA Tanjung Seratus, Rompin hari ini

ROMPIN – Kompleks ternakan ayam pedaging berskala besar di Tanjung Seratus, di sini akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran domestik, seiring agenda keterjaminan bekalan makanan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ia bagi mengurangkan kebergantungan pengimportan bekalan makanan dari negara luar.

“Keterjaminan makanan harus diambil peduli kerana pengimportan bahan makanan untuk penggunaan penduduk di negara ini cukup tinggi dengan jumlah hampir RM80 bilion.

“Apatah lagi apabila pertukaran wang asing turut menyebabkan kos meningkat. Oleh itu, ketercukupan makanan mesti menjadi ‘mauduk’ atau tajuk utama untuk kita selesaikan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap dalam Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) FELCRA Berhad, di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) FELCRA Berhad, di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, di sini hari ini.

Disamping itu, Ahmad Zahid berkata, kejayaan projek ternakan ayam pedaging itu turut menonjolkan keupayaan FELCRA dalam melaksanakan inisiatif berimpak tinggi, seterusnya mengangkat sosioekonomi masyarakat setempat ke tahap yang lebih baik.

“Seiring RMK13 juga, saya berbesar hati menyambut baik cadangan FELCRA menubuhkan Pusat Pemprosesan Minyak Masak di Bidor, Perak; menaiktaraf pusat benih padi menggunakan teknologi lestari serta membina kilang pengampitan beras di FELCRA Seberang Perak.

“Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja bertepatan dengan agenda nasional untuk perkukuh keterjaminan makanan negara, malah membuka peluang kepada FELCRA untuk terus unggul dalam sektor pertanian dan industri asas tani,” tambahnya.

Antara ternakan di Kompleks Ladang Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) FELCRA Berhad, di Tanjung Seratus, Kuala Rompin

Sebagai rekod, Kompleks Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) itu menggunakan peruntukan RM60 juta dalam Rolling Plan 1, RMK12 di bawah Program Pembangunan Hasil Baru melibatkan 10 buah reban ternakan yang membiak 30,000 ekor ayam pedaging bagi setiap reban dan menyasarkan pengeluaran ternakan sebanyak 1.5 juta ekor setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here