Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai satu langkah bersejarah yang bakal membawa perubahan besar dalam landskap kebebasan media di negara ini.

Dalam ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan, RUU itu lebih memberi kesan langsung kepada rakyat berbanding RUU Perkhidmatan Parlimen kerana ia membuka ruang untuk penyelesaian aduan terhadap media tanpa perlu melalui tindakan saman sivil atau siasatan jenayah.

“Media sering digelar sebagai The Fourth Estate berperanan sebagai penyemak dan pengimbang kepada kerajaan.

“Sejarah membuktikan bagaimana pena wartawan mampu menjatuhkan pemimpin yang bobrok dan boros. Namun, media juga perlu bertanggungjawab. Justeru, RUU ini mencari keseimbangan antara kebebasan dan akauntabiliti,” katanya yang juga anak kepada tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaafar.

Beliau yang juga seorang peguam berkongsi pengalaman membela wartawan yang pernah ditahan kerana laporan media mereka.

Menurutnya, jika MMM sudah wujud ketika itu, aduan boleh disalurkan terus ke badan tersebut tanpa perlu melalui proses siasatan jenayah yang membebankan.

RUU yang sama, katanya, akan mengubah mekanisme kawalan media daripada campur tangan kerajaan kepada konsep self-regulation di mana media akan mengurus sendiri aduan dan menentukan standard etika kewartawanan.

“RUU ini bukan sempurna tetapi ia langkah pertama yang penting. Jika kita menunggu kesempurnaan, kita tidak akan ke mana-mana. Hari ini, kita berpeluang memartabatkan media sebagai The Fourth Estate yang bebas dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Komunikasi atas usaha menyeluruh mendapatkan input daripada pengamal media dalam merangka RUU inidan  membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam membawa reformasi sebenar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here