Tayar sudah rosak yang masih digunakan lori.

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 292 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi di tiga plaza tol utama di negeri ini semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Ops Khas Gempur Teknikal 2025 itu menyaksikan sebanyak 643 kenderaan persendirian dan barangan diperiksa dengan 102 daripadanya didapati melakukan pelbagai jenis kesalahan.

“Notis JPJ(P)22 yang membabitkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan teknikal merekodkan jumlah tertinggi dengan 206 notis.

“Sebanyak 50 notis PG1 iaitu larangan penggunaan kenderaan manakala 53 lagi adalah notis arah periksa kenderaan mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memeriksa kenderaan berat dalam operasi di tiga plaza tol utama di Melaka semalam.

Menurutnya, dalam operasi di susur keluar Plaza Tol Alor Gajah, Ayer Keroh dan Jasin itu, JPJ Melaka turut mengeluarkan lapan notis kesalahan mengikut Seksyen 82(1) Aka Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Tiga buah lori turut didapati melakukan kesalahan menggunakan tayar yang sudah haus atau rosak.

“JPJ komited dalam memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta keselamatan pengguna dan tindakan tegas akan diambil bagi membendung kesalahan dan meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya.

Operasi melibatkan 46 anggota penguat kuasa JPJ, Unit Peronda Lebuhraya JPJ (UPLR) serta Plus Malaysia Berhad (Plus) berakhir jam 1 tengah hari. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here