KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen dari blok kerajaan menegaskan kebebasan Majlis Media Malaysia mesti dijamin sepenuhnya dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan bagi memastikan integriti dan ketelusan industri media negara.
Mordi Bimol (PH-Mas Gading) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia membangkitkan beberapa fasal yang memberi kepada kerajaan untuk melantik anggota lembaga.
“RUU ini menyatakan Majlis Media Malaysia akan menjadi sebuah badan bebas, tetapi pada masa yang sama, menteri masih mempunyai kuasa melantik dua wakil kerajaan serta anggota lembaga pengasas.
“Ini menimbulkan persoalan sejauh mana autonomi majlis ini dapat dijamin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebaliknya Mordi mencadangkan agar pelantikan anggota lembaga dilakukan secara bebas oleh komuniti media sendiri tanpa campur tangan eksekutif kerajaan bagi mengelakkan persepsi bahawa Majlis Media ini akan tunduk kepada kepentingan tertentu.
Selain itu, beliau turut menggesa agar keanggotaan lembaga dari Sabah dan Sarawak diperkukuh dengan peruntukan yang lebih adil.
“Fasal 8(1)(C) hingga (E) hanya menyebut keahlian dari Sabah atau Sarawak, sedangkan media di kedua-dua negeri ini berdepan cabaran yang berbeza dari Semenanjung.
“Saya mencadangkan agar peruntukan ini diubah kepada Sabah dan Sarawak serta menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus anggota Lembaga daripada Malaysia Timur,” ujarnya.
Mordi turut menyentuh mengenai mekanisme aduan terhadap media yang menurutnya masih kurang jelas dalam RUU ini.
“Fasal 15 dan 16 menetapkan mekanisme ketidakpuasan hati dan kuasa tatatertib, tetapi tidak memperincikan bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap pengamal media. Ini boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan terutama jika terdapat tekanan politik atau komersial.
“Saya cadangkan supaya ini dikendalikan oleh jawatankuasa bebas yang terdiri daripada wakil media, akademik, dan masyarakat sivil, dengan hukuman bersifat mendidik dan bukan sekadar menghukum,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika menyentuh soal pembiayaan, Mordi mempertikaikan sekatan terhadap penerimaan dana asing oleh Majlis Media Malaysia kecuali dengan kelulusan menteri.
“Jika benar Majlis Media (Malaysia) ini bebas, mengapa perlu ada sekatan terhadap sumber pembiayaannya?
“Di banyak negara, badan pengawalseliaan media mendapat pembiayaan dari pelbagai sumber bagi memastikan mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan keperluan memasukkan peruntukan khas bagi melindungi wartawan daripada ugutan dan tindakan undang-undang yang tidak adil yang menurutnya masih tidak diperincikan dalam RUU yang sama.
“Fasal 23 hanya memberi perlindungan kepada Majlis Media tetapi tidak ada klausa khusus untuk melindungi wartawan yang menjalankan tugas mereka.
“Kita sudah melihat sebelum ini bagaimana wartawan diheret ke mahkamah hanya kerana melaporkan isu sensitif. Ini tidak boleh dibiarkan berulang,” ujarnya.
Mordi menegaskan kebebasan dan keberkecualian Majlis Media Malaysia mesti dipastikan agar ia tidak menjadi alat kawalan kerajaan terhadap industri media.
“Saya berharap kerajaan dapat meneliti cadangan-cadangan ini agar Majlis Media Malaysia benar-benar berfungsi untuk kepentingan rakyat dan bukan sekadar menjadi satu lagi badan birokrasi yang tidak berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette