Lelaki warga Israel, Avitan Shalom tiba di Mahkamah Kuala Lumpur dengan kawalan ketat. Foto SYADILA AMARI, 28 JUN 2024. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom dihukum penjara maksimum tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas dua kesalahan memiliki 200 butir peluru dan enam laras senjata api, tahun lalu.

Avitan, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang, dekat sini.

Hakim memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 28 Mac 2024.

“Selepas mengambil kira pengakuan bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap.

“Barang milik tertuduh iaitu pasport antarabangsa, 14 kad kredit dan empat telefon bimbit tertuduh diserahkan kepada penjara dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Polis membawa seorang lelaki warga Israel, Shalom Avitan berusia 38 tahun untuk didakwa atas pertuduhan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 12 APRIL 2024. (GAMBAR FAIL)

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, lelaki itu didakwa memiliki enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA and Stoeger Cougar 8000F.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara jam 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac 2024.

Mengikut fakta kes, seorang lelaki warga asing meminta seorang kakitangan hotel tempatnya menginap supaya membuang sampah pukul 6 petang, hari kejadian.

Selepas mengeluarkan barangan dalam beg tersebut, kakitangan berkenaan bersama penyelia keselamatan hotel selaku pengadu kes, menemukan satu iPad, dua kotak beg simpanan pistol, beberapa sarung tangan dan stoking.

Pengadu mendapati dua kotak beg simpanan pistol tersebut mempunyai penerangan mengenai penggunaan senjata beserta gambar pistol jenama ‘Glock’ dan ‘Kuzey’.

Pengadu kemudiannya diarahkan oleh pegawai atasannya untuk membuat laporan polis.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berkata, pihak pembelaan telah mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 19 Februari lalu.

Berdasarkan dokumen tersebut, beliau berkata, tertuduh bersedia untuk menjalani hukuman penjara maksimum atas pertuduhan pilihan.

“Susulan itu, pada 20 Februari lalu, AGC telah membalas representasi tersebut dan bersetuju dengan representasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan mengesahkan telah menghantar representasi ketiga itu.

Menurut peguam, anak guamnya yang merupakan pemilik syarikat pembekalan perubatan, syarikat hartanah, dan syarikat mata wang kripto Bitcoin di New York, Amerika Syarikat, perlu menyara isteri yang juga seorang suri rumah serta tiga anak mereka yang berusia 16, 10, dan sembilan tahun di Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here