JOHOR BAHRU – Seorang murid perempuan sebuah sekolah rendah di Skudai di sini didakwa menjadi mangsa buli tiga rakannya dengan disuruh membuka uniform sekolah dan ditendang bahagian alat sulitnya.
Mangsa yang merupakan kanak-kanak berusia sembilan tahun tinggal di sebuah pusat jagaan harian di Taman Ungku Tun Aminah di sini dan juga bersekolah dalam taman berkenaan.
Menurut penjaga pusat jagaan harian tersebut, M Caren Nantheny, 47, pihaknya mengetahui kejadian tersebut daripada anak jirannya memaklumkan mangsa dibuli tiga murid sekolah itu pukul 2.45 petang semalam.
“Kanak-kanak ini dibuli seorang murid perempuan dan dua murid lelaki. Anak jagaan saya dipaksa untuk menanggalkan baju sekolah dan baju dalam.
“Seorang murid perempuan di sekolah itu bertindak menyentuh payu dara anak jagaan saya dan menendang di bahagian alat sulitnya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Caren berkata, anak jirannya itu menyatakan melihat mangsa menangis kesakitan kemudian membawanya untuk berjumpa dengan seorang guru.
Malangnya dia mendakwa guru berkenaan bertindak memarahi mangsa hingga mengundang ketakutan kepadanya.
Selepas dimaklumkan perkara itu, dia bertindak menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru namun mendakwa turut menerima maklum balas yang mengecewakan.
“Kejadian itu boleh menimbulkan trauma kepada anak jagaan saya, boleh menjejaskan prestasi pendidikannya dan masalah lain.
“Perbuatan pembuli itu adalah melampau dan jika tidak diambil tindakan ia boleh dicontohi kanak-kanak hingga menjejaskan keselamatan murid lain.
“Diharap isu seumpama ini diberi perhatian dengan segera. Kejadian buli bukan kali pertama berlaku namun ia tidak pernah dipandang serius hingga berlarutan dan kami khuatir mengundang masalah serius,” ujarnya.
Dia kemudian membuat laporan kejadian berkenaan di Balai Polis Ungku Tun Aminah di sini semalam dengan ditemani ibu bapa mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh mengesahkan menerima laporan berkenaan.
“Siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, perkara itu sudah dibawa dalam perbincangan hari ini bersama-sama pejabat pendidikan daerah, pengurusan sekolah dan keluarga.
“Ia sudah diselesaikan,” katanya.- MalaysiaGazette