Lima buah kereta terlibat dalam satu kemalangan selepas kereta mewah jenis Audi TT hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Serigala, Johor Bahru semalam

JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta mewah jenis Audi TT yang ‘hilang’ selepas terlibat dalam kemalangan lima kereta di Jalan Serigala di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Bin Selamat berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 7.15 petang namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Audi TT dari arah Jalan Dato Sulaiman bertembung dengan kereta Proton Persona dari arah Jalan Harimau.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu Audi TT dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiga lagi kenderaan yang sedang diparkir di tepi jalan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu Audi TT juga didapati tiada di lokasi kejadian dan masih belum tampil membuat laporan kemalangan.

Sehubungan itu ujarnya, pihak polis meminta pemandu yang terlibat untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 iaitu gagal mengawal kenderaan, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Hasrin Abd Rahman menerusi talian 019-7767756.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here