Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak akibat tercekik gula- gula kenyal. Kejadian ini mengingatkan kita betapa pentingnya kesedaran mengenai pertolongan cemas bagi situasi tercekik, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Apabila seseorang tercekik, ini bermaksud saluran udara (airway) terhalang oleh objek, mengakibatkan oksigen tidak dapat sampai ke otak. Jika ketiadaan oksigen berterusan selama lebih empat minit, kecederaan otak boleh berlaku, malah boleh membawa maut. Oleh itu, apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya berhadapan dengan situasi ini?
JANGAN PANIK
Pemberi bantuan harus bertenang dan bertindak segera. Ketahui langkah-langkah pertolongan cemas dan dapatkan bantuan secepat mungkin. Orang sekeliling juga boleh membantu dengan menghubungi ambulans di talian kecemasan 999.
KENALI TANDA-TANDA TERCEKIK
Antara tanda-tanda kanak-kanak tercekik ialah:
- Batuk bertalu-talu tanpa sebab yang jelas
- Kesukaran bernafas atau tercungap-cungap
- Bunyi “wheezing” seperti penghidap asthma
- Panik dan memegang bahagian kerongkong
- Tidak boleh bercakap dengan jelas atau mengeluarkan bunyi
- Wajah bertukar kebiruan atau tidak sedarkan diri
TINDAKAN PERTOLONGAN CEMAS
Jika mangsa masih sedar:
Bayi di bawah 1 tahun:
- Tiarapkan bayi di atas lengan penyelamat dengan kepala lebih rendah daripada badan dan pegang bayi dengan stabil.
- Dengan tangan yang lain, tepuk lima kali di belakang bayi (back blows) di antara tulang
- Terlentangkan bayi dan periksa jika ada objek yang keluar. Jika kelihatan, keluarkan dengan berhati-hati tanpa menolak objek lebih dalam.
- Jika bayi masih menunjukkan tanda-tanda tercekik, letakkan dua jari di tengah dada dan lakukan lima kali tekanan (chest thrust).
- Ulangi tepukan belakang dan tekanan dada secara berselang sehingga objek keluar atau bayi tidak sedarkan diri.
Kanak-kanak 1 hingga 12 tahun:
- Tanya jika mangsa boleh bercakap atau batuk
- Jika masih boleh batuk, galakkan batuk kuat berulang kali sehingga objek
- Jika batuk lemah atau tidak boleh batuk, lakukan lima tepukan di antara tulang belikat dengan kedudukan kepala lebih rendah.
- Jika masih gagal, lakukan tekanan di bawah pusat (abdominal thrust) sehingga objek terkeluar.
- Jika objek kelihatan di mulut, keluarkan dengan berhati-hati tanpa menolaknya lebih
Jika mangsa tidak sedar dan tidak bernafas:
- Baringkan mangsa di atas lantai
- Buka saluran pernafasan menggunakan teknik dongakkan kepala dan angkat dagu (head tilt- chin lift technique).
- Periksa mulut mangsa dan keluarkan objek hanya jika kelihatan
- Jika mangsa masih tidak bernafas setelah objek dikeluarkan, berikan bantuan pernafasan dengan meniup ke dalam mulutnya selama satu saat.
- Perhatikan pergerakan dada selepas bantuan pernafasan
- Lakukan tekanan dada jika perlu
LATIHAN PERTOLONGAN CEMAS
Masyarakat disarankan untuk menjalani latihan pertolongan cemas kerana latihan ini mungkin membantu menyelamatkan nyawa. Dengan pengetahuan yang betul, individu dapat bertindak dengan lebih yakin dan berkesan dalam situasi kecemasan.
LANGKAH PENCEGAHAN
Lebih penting daripada rawatan ialah pencegahan. Pastikan makanan diberikan dalam saiz yang sesuai dan dikunyah dengan betul. Elakkan anak-anak daripada bermain atau bergurau ketika makan. Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab orang dewasa di sekeliling mereka.
OLEH,
Prof Madya (K) Dr Shahrul Nizam bin Ahmad Zamzali Pakar Perubatan Kecemasan
KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital
-MalaysiaGazette