Polis melakukan serbuan di sebuah kilang memproses sampah elektronik (e-waste) secara haram di Kampung Baru Sengang, Kulai semalam.

KULAI – Polis menahan 15 warga asing termasuk seorang warga tempatan dan melakukan rampasan lebih RM43 juta selepas menyerbu kilang memproses sampah elektronik (e-waste) secara haram di Kampung Baru Sengang di sini semalam.

Serbuan tersebut dilakukan dalam operasi bersepadu melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Majlis Perbandaran Kulai (MPK) pada pukul 8.15 pagi.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga China selain sembilan lelaki dan seorang wanita Indonesia.

“Ini termasuk dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh. Kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Kumar, menerusi serbuan itu pihaknya merampas barangan bernilai lebih RM43 juta antaranya membabitkan 348 guni plat timah, 612 guni bateri automotif potong, 33 kotak dan pallet berisi bateri automotif, dua unit alat kawalan pencemaran habuk serta ketuhar pembakar.

Turut dirampas sembilan guni sisa komponen elektronik, 13 tanki air bateri, 18 tan sisa buangan e-waste (RM810,000), 1,290 tan bateri (RM6,450), 696 tan timah (RM23 juta), 13,000 liter air bateri (RM13,000) dan peralatan proses e-waste bernilai RM1 juta.

Tambah beliau, kesemua barang rampasan diserahkan kepada JAS untuk siasatan lanjut yang akan dijalankan di bawah beberapa peruntukan kesalahan.

Kes disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana berada dan masuk ke Malaysia tanpa pas, Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar Sekeliling 1974; Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2019 iaitu Seksyen 3(1) serta Seksyen 49(2).

“Kilang memproses e-waste ini sudah beroperasi kira-kira tiga hingga empat bulan lalu tetapi status lesen masih dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan,” kata Kumar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here