PPM Wilayah Dua melakukan serbuan di sebuah kilang memproses minyak sawit tidak berlesen di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, kelmarin.

PASIR GUDANG – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menyerbu sebuah kilang yang dipercayai memproses minyak sawit tidak berlesen di Taman Pasir Putih di sini kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, Op Taring Landai yang dijalankan pada pukul 3 petang itu menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.

“Operasi itu dilakukan hasil maklumat Unit Risik Marin dengan kolaborasi bersama-sama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen memproses minyak sawit yang terpakai dan kotor.

“Dalam operasi bersepadu itu, kita merampas sebanyak 11,200 liter minyak masak yang belum diproses dan 35 tan Palm Oil Mil Effluent (POME),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kata Kumar, dalam serbuan itu polis turut merampas enam square tank, dua tangki besi berkapasiti 40 tan, 36 tong besi berkapasiti 200 liter, dua buah lori dan sebuah lori tangki

Jelasnya, ini termasuk tujuh buah pam minyak enjin dan masing-masing satu unit set boiler, pam elektrik, pam compressor dan mesin pemprosesan biodiesel.

Kumar berkata, kesemua rampasan peralatan bagi kegiatan memproses minyak sawit itu serta lori tersebut dianggarkan bernilai lebih RM1.64 juta.

Katanya, tangkapan dan kesemua barang-barang rampasan diserahkan kepada MPOB untuk tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan oleh pihak MPOB di bawah Peraturan 5, satu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-peraturan MPOB (Pelesenan) 2005.

“Polis Johor terus komited dalam melaksanakan penguatkuasaan dan membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang negara dan boleh mencemarkan alam sekitar sekiranya tiada penyeliaan rapi,” ujarnya.

Beliau menggesa masyarakat agar konsisten menyalurkan maklumat tentang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here