KUANTAN – Operasi pemotongan bekalan elektrik dijalankan terhadap 10 buah premis kerana didapati menjalani aktiviti perjudian di daerah ini.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata operasi tersebut dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) bersama bersama Unit Operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut beliau, seramai dua pegawai kanan polis, lapan pegawai rendah polis dan lima kakitangan unit operasi TNB terlibat di dalam operasi ini di beberapa buah kawasan di sini.
”Kawasan yang terlibat di dalam operasi ini adalah bandar Kuantan, Semambu, Kampung Padang, Bukit Setongkol dan Jaya Gading.
”Antara premis yang terlibat dalam operasi ini berselindung dengan menjual barangan runcit peralatan komunikasi untuk menjalankan aktiviti perjudian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tegasnya operasi tersebut dilaksanakan untuk memastikan premis berkenaan tidak akan kembali menjalankan aktiviti perjudian selepas tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
Dalam perkembangan sama, Wan Zahari berkata sebanyak 134 kertas siasatan berkaitan aktiviti perjudian telah dibuka dan 84 kes telah dituduh di mahkamah pada tahun lalu.
”Untuk rekod, pada tahun 2024 juga pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan membuat 35 permohonan untuk pemotongan bekalan elektrik dan daripada jumlah itu, sebanyak 13 premis telah mendapat kebenaran untuk dipotong bekalan elektrik.
”Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang boleh menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette