ROMPIN – UMNO beri peluang cadangan calon daripada semua sayap parti itu untuk dipertimbang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon-calon tersebut akan dikenalpasti selepas perbincangan diadakan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan kepimpinan UMNO Bahagian Tapah.
“Ciri-ciri bakal calon pula adalah ‘WALI’ iaitu boleh menang (winnable), mudah diterima (acceptable) dan disenangi (likable),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) FELCRA Berhad, di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, di sini hari ini.
Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin lepas susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung.
Perkara itu dimaklumkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memandangkan tempoh mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) itu adalah 60 hari daripada notis yang dikeluarkan.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN akan meletakkan calon di kerusi tersebut seperti mana dengan persefahaman yang disepakati dalam kerajaan Madani. – MalaysiaGazette