BATU PAHAT – Menjadikan sebuah rumah sebagai stor menyimpan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan.
Itu modus operandi sindiket dadah yang melakukan kegiatan tersebut sebuah rumah di Jalan Parit Botak, Senggarang di sini.
Kegiatan tersebut terbongkar selepas sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Batu Pahat melancarkan satu serbuan pukul 6.30 petang, 23 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 36 dan 39 tahun.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah jenis Methamphetamine.
“Semakan rekod jenayah lampau kedua-dua tangkapan mendapati seorang tangkapan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah manakala seorang lagi tangkapan mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Kegiatan sindiket pengedaran dadah ini dipercayai mulai aktif beroperasi sekitar bulan Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dalam serbuan itu pihak polis berjaya merampas dua jenis dadah iaitu enam peket plastik lutsinar berisi syabu dianggarkan seberat 1090 gram bernilai lebih kurang RM34,880.
Ini termasuk 87 kerajang timah warna silver berisi 870 biji pil dadah disyaki pil erimin 5 dianggarkan seberat 250.20 gram bernilai lebih kurang RM17,400.
Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM52,280 dan boleh digunakan kira-kira 3,000 penagih.
“Pihak polis juga menyita sebuah kereta dengan nilai (RM20,000), sebuah motosikal (RM15,000) dan wang tunai RM1,500.00.
Jumlah nilai sitaan adalah RM36,500.
“Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan dadah dan sitaan dalam serbuan ini adalah RM88,780,” ujar beliau lagi.
Kedua-dua tangkapan katanya, direman selama tujuh hari bermula 24 Februari hingga 2 Mac ini untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.- MalaysiaGazette