KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman (Pindaan) 2025 yang dibahaskan bukan sekadar perubahan prosedur tetapi langkah penting memperkukuh sistem pendidikan negara serta memastikan keadilan sosial dalam akses pembelajaran.
Itu antara kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang menegaskan Yayasan Tunku Abdul Rahman, sejak penubuhannya pada 1966 bertujuan memastikan tiada pelajar yang tercicir akibat kekangan kewangan selari dengan visi Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Salah satu pindaan utama dalam RUU ini adalah penstrukturan semula Lembaga Pemegang Amanah yang memastikan pelantikan ahli dilakukan berdasarkan kelayakan profesional bukan pengaruh politik.
“Jika kita benar-benar ingin membina sistem pendidikan yang mengangkat rakyat, bukankah kita perlu memastikan ia ditadbir oleh mereka yang paling berkemampuan?, soalnya di Dewan Rakyat hari ini.
Sambung Syerleena, pindaan juga memperluaskan bentuk bantuan yang ditawarkan oleh yayasan yang sebelum ini hanya tertumpu kepada biasiswa dan pinjaman pelajaran.
Namun kini ia akan merangkumi keperluan pendidikan lain seperti komputer riba, pengangkutan serta program pembangunan kemahiran.
“Ramai pelajar bukan sahaja bergelut untuk membayar yuran pengajian tetapi juga menghadapi masalah akses internet, buku, dan keperluan asas lain. Dengan langkah ini, kita memastikan tiada pelajar tercicir akibat kesempitan hidup,” ujarnya.
Kata pemimpin DAP itu, selain aspek kewangan, RUU itu turut menekankan kepentingan pendidikan dalam membentuk perpaduan negara.
Jelas beliau, antaranya Seksyen baharu 7A, Perkara 4(d) memperkukuh peranan yayasan dalam menyokong pendidikan yang berteraskan nilai kebangsaan dan keharmonian sosial.
“Bolehkah kita benar-benar mengaku sebagai sebuah negara bersatu jika sistem pendidikan kita tidak mencerminkan nilai perpaduan?
“Pendidikan bukan sahaja tentang akademik tetapi juga membentuk warganegara yang berbakti kepada masyarakat,” tambahnya.
Mengakhiri perbahasannya, Syerleena menekankan pindaan yang sama bukan sekadar perubahan undang-undang tetapi sebuah komitmen moral untuk memastikan setiap anak Malaysia mendapat hak pendidikan yang sewajarnya.
“Kita bukan sekadar menggubal undang-undang tetapi sedang menentukan hala tuju generasi akan datang. Jika kita benar-benar percaya pada keadilan dan kemajuan maka kita tiada pilihan selain memastikan pendidikan berkualiti untuk semua,” jelasnya. -MalaysiaGazette