KUALA LUMPUR – Restoran Samudera Anjung Patin Ville mempelawa orang ramai untuk menikmati ikan sungai eksotik sebagai hidangan berbuka puasa sempena bulan Ramadan tidak lama lagi.

Dengan lebih 30 jenis lauk pauk, ia pastinya mampu membuka selera penggemar ikan sungai, lebih-lebih lagi masakan di kedai yang terletak di No. 51, Lorong Khatib Koyan, Jalan Kampung Baru itu mampu memenuhi citarasa peminatnya selama ini.

Anjung Patin Ville menyediakan menu ala carte yang sangat berbaloi di dalam suasana rumah kampung di Kampung Bharu di tengah-tengah ibu kota.
Antara hidangan warisan yang disediakan adalah ikan patin masak asam tempoyak, ikan baung masak lemak, timun taucu, ayam kampung goreng dan sambal, ikan kerai goreng, pelbagai jenis kerabu, pelbagai masakan udang galah, siput sedut, gulai lemak pucuk ubi dan ikan pekasam.

Menu lain yang turut disediakan iaitu ikan kelah goreng, pais patin, kerabu pucuk paku, ayam kampung, ayam masak kicap dan banyak lagi yang boleh ditempah mengikut selera pelanggan.

Lauk pauk yang disediakan di restoran tersebut juga dipadukan dengan pelbagai jenis sambal dan ulam ulaman yang pastinya menambat hati sesiapa sahaja yang datang ke Restoran Anjung Patin Ville.

Air Sirap Soda Selasih Samudera, barli lemon dan air jagung float merupakan antara minuman penyegar tekak yang pastinya memberikan kenyamanan dalam setiap hirupan.
Dilengkapkan lagi dengan pencuci mulut seperti puding raja, tapai pulut aiskrim, sagu gula Melaka dan puding karamel.
Nikmat makanan di Samudera Anjung Patin Ville boleh membangkitkan selera ala kampung kepada pengunjung yang baru pertama kali datang ke restoran itu.

Anjung Patin Ville bukan sahaja menjadi pilihan orang kenamaan seperti menteri bahkan ia turut dikunjungi orang kebanyakan.
Restoran tersebut juga pernah menjadi lokasi makan tengahari bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika rombongan pemimpin negara jiran itu ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut sama menemani Joko untuk menikmati makan tengahari di restoran yang sama.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi pemilik restoran berkenaan Hishamuddin Hamzah di talian 019-607 6737.
Untuk sepanjang bulan Ramadan ini, Hishamuddin memaklumkan tempahan perlulah dibuat sebelum pukul 5 petang.
Pelanggan juga boleh membuat tempahan dengan menggunakan khidmat penghantar makanan ataupun pihak restoran namun ia bergantung kepada kuantiti tempahan yang dibuat. – MalaysiaGazette